Siapa yang menguasai media keseluruhan dialah yang menguasai realiti dimahukan.

Dalam dunia komunikasi politik moden, kejayaan sesuatu propaganda bergantung pada sejauh mana mesej dapat meresap ke dalam ekosistem maklumat melalui semua saluran digunakan masyarakat. Penguasaan media cetak, media elektronik, media digital dan medium tertua dari mulut ke mulut menjadi asas kepada pembentukan persepsi.
Harold Lasswell (1927) menegaskan propaganda ialah ‘pengurusan pendapat umum melalui simbol signifikan’. Namun, simbol tidak bergerak sendirian; ia bergerak melalui medium yang dipercayai, diulang, diperbesar, dan ditanam dalam kesedaran masyarakat. Inilah inti petua keenam: apabila seseorang menguasai medium, dia menguasai tafsiran realiti yang dikehendaki.
Media cetak seperti akhbar, jurnal atau majalah tetap relevan kerana ia memberi aura kredibiliti dan keseriusan. Dalam politik, apa yang ditulis dalam akhbar sering menjadi rujukan awal sebelum ia dipanjangkan ke televisyen, radio dan media sosial. Apatah lagi jika penulis itu mempunyai kredibiliti mengulas sesuatu isu.
Jacques Ellul (1965), sarjana penting dalam kajian propaganda, menjelaskan propaganda moden berkesan apabila ia membentuk ‘persekitaran maklumat’ yang mengelilingi manusia secara berterusan dan sistematik. Televisyen dan radio memainkan peranan ini, secara visual dramatik dan pengulangan menjadikan mesej meresap perlahan-lahan, tanpa disedari.
Dalam ekosistem digital, algoritma menjadi penapis terbesar. Ia memilih dan mengangkat naratif bukan berdasarkan nilai kebenaran, tetapi berdasarkan nilai viral yang terkait dengan emosi dan minat sasaran.
Propaganda digital bergerak melalui logik baharu: lebih banyak interaksi, lebih kuat penyebaran. Manuel Castells dalam buku The Rise of Network Society menjelaskan kuasa moden ialah ‘keupayaan mengawal rangkaian maklumat’. Dalam dunia hari ini, rangkaian itu bukan lagi institusi besar tetapi manusia biasa dengan telefon pintar.
Satu video TikTok boleh mempengaruhi jutaan orang, satu poster WhatsApp boleh membentuk panik, satu ciapan Twitter (kini X) boleh menjadi agenda nasional. Donald Trump menunjukkan bagaimana penguasaan media digital mampu mengatasi media arus perdana. Trump memintas institusi media dengan membina ‘media sendiri’ melalui Twitter. Setiap ciapannya menjadi bahan berita, malah media yang membencinya tetap memperbesarkan mesejnya kerana ia membawa nilai komersial yang sejajar dengan penapis keuntungan Herman & Chomsky.
Trump bukan sahaja menyebarkan propaganda; dia mencipta kaunter propaganda terhadap media melalui label ‘fake news’. Strateginya ini menunjukkan bagaimana propaganda kini tidak lagi linear; ia bersifat dua hala, spontan dan berlapis.
Dalam kerangka global ini, satu lagi kajian kes penting ialah kemenangan Zohran Mamdani dalam pemilihan Parti Demokrat New York tahun 2025. Mamdani, seorang anak muda Muslim, imigran keturunan India-Uganda, berjaya menumbangkan tokoh besar seperti Andrew Cuomo.
Pada zahirnya ia tampak luar biasa, namun apabila diteliti melalui lensa propaganda, ia sebenarnya hasil penguasaan naratif dengan memanfaatkan kisah akar umbi dan disebar menerusi media digital. Berdasarkan kempen Mamdani memperlihatkan strategi propaganda moden yang tidak bergantung kepada institusi, tetapi pada komuniti, seni dan naratif mikro.
Mamdani membina kempen melalui pendekatan komunikasi horizontal, bukan vertikal. Beliau tidak menjerit slogan, tetapi mengangkat kisah rakyat dari pemandu teksi yang bergelut membayar sewa, ibu tunggal yang terhimpit kos penjagaan anak, pelajar imigran dengan hutang pendidikan. Video TikToknya tidak dirakam di studio mahal tetapi di stesen subway, kedai komuniti dan lorong seni. Naratifnya bukan retorik besar, tetapi bahasa manusia: tambang subway percuma, pembekuan sewa, penjagaan kanak-kanak universal. Strategi ini bukan sahaja berkesan dari segi empati, tetapi memanfaatkan struktur ‘propaganda budaya’, sesuatu yang jarang digunakan oleh politik arus perdana.
Seni, muzik, mural, malam puisi dan video komuniti menjadi naratif propaganda dalam kempen Mamdani. Pendekatan ini jauh berbeza daripada propaganda klasik Goebbels yang menekankan seragam emosi. Mamdani tidak memaksa semua orang merasai perkara yang sama. Sebaliknya, dia mencipta mesej mikro: untuk komuniti Latin dalam bahasa Sepanyol, untuk komuniti Muslim Asia Selatan dalam Urdu atau Bengali, untuk belia bandar melalui cara indie TikTok.
Pendekatan ini selari dengan era algoritma bekerja iaitu setiap mesej dihantar mengikut kesesuaian kelompok tertentu, bukan diberi sama rata kepada semua. Inilah gaya propaganda digital: mesej kecil berbeza-beza, tetapi semuanya tetap membawa cerita besar yang sama.
Kajian kes Mamdani menunjukkan propaganda masa kini tidak lagi bergantung kepada penguasaan media arus perdana, tetapi penguasaan ‘media rakyat’. Video ringkas, estetika budaya, seni jalanan, cerita manusia dan penglibatan komuniti menjadi saluran yang lebih dipercayai berbanding ucapan politik formal. Keaslian menjadi modal propaganda.
Dalam dunia hari ini, cabaran terbesar media ialah hakikat bahawa semua orang boleh mencipta propaganda dan semua orang boleh mencipta propaganda balas. Naratif kerajaan boleh dicabar dalam masa beberapa minit. Fakta boleh diputar di tangan sesiapa sahaja. Algoritma mengangkat emosi, bukan ketepatan. Mesej yang disebar di skrin hanya berkesan apabila ia akhirnya ‘turun ke lidah manusia’. Dalam kekacauan ini, medium mulut ke mulut kekal sebagai sumber paling dipercayai. Apabila mesej digital menjadi bahan sembang, ia telah mencapai tahap propaganda paling sempurna.
Akhirnya, propaganda yang berjaya ialah propaganda yang mampu menguasai keseluruhan ekosistem maklumat: media cetak untuk legitimasi, televisyen dan radio untuk emosi, media digital untuk kelajuan serta viraliti, dan mulut ke mulut untuk kepercayaan sosial.
Dengan memahami bagaimana penapis Herman & Chomsky berfungsi, bagaimana algoritma bergerak, bagaimana budaya mencipta bahasa propaganda baharu dan bagaimana tokoh seperti Trump dan Mamdani menguasai ruang naratif, propagandis moden dapat mempengaruhi bukan sahaja perbualan awam tetapi struktur pemikiran masyarakat.
Dalam era ini, siapa yang menguasai media keseluruhan, dialah yang menguasai realiti yang dimahukan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.