`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, February 28, 2026

Tragedi Tangkak dedah konflik reka bentuk lebuh raya, amalan penguatkuasaan

 Pakar keselamatan jalan raya berkata insiden maut di Lebuhraya Utara-Selatan isyarat prosedur belum disesuaikan dengan risiko trafik moden.

highway lebuhraya
Kesilapan kecil di lebuh raya menjadi ‘fatal’ apabila manusia berada tetap di bahu jalan, kata pakar keselamatan jalan raya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Insiden kemalangan maut di KM170.1 Lebuhraya Utara-Selatan yang mengorbankan seorang penunggang motosikal dan mencederakan anggota polis mencetuskan persoalan lebih besar mengenai keselamatan operasi di lorong kecemasan lebuh raya berkelajuan tinggi.

Pengasas dan penasihat Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya Serta Sukan Permotoran Jamil Manan Supri berkata, tragedi itu tidak wajar dilihat semata-mata sebagai kemalangan atau kesilapan operasi individu, sebaliknya mencerminkan konflik struktur antara prinsip reka bentuk lebuh raya dan amalan penguatkuasaan semasa.

“Lebuh raya akses terkawal direka sebagai persekitaran ‘forgiving’ untuk meminimumkan kesan kesilapan manusia.

“Lorong kecemasan berfungsi sebagai ruang pemulihan keselamatan, bukan ruang kerja operasi rutin,” katanya.

Jamil Manan Supri
Jamil Manan Supri.

Dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal berusia 38 tahun dilaporkan melanggar seorang anggota polis ketika pemeriksaan dijalankan di lorong kecemasan.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jasin, manakala anggota polis berkenaan mengalami kecederaan sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.

Menurut Jamil, apabila lorong kecemasan digunakan untuk pemeriksaan rutin, ia mengubah fungsi asalnya daripada ‘zon keselamatan steril’ kepada ruang operasi aktif dalam persekitaran trafik berkelajuan tinggi.

“Di lebuh raya 110 km/j, jangkaan pemandu terhadap objek atau individu yang berhenti di bahu jalan adalah sangat rendah. Apabila anggota berada di situ, mereka sebenarnya berada dalam persekitaran tenaga tinggi tanpa perlindungan fizikal mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, keadaan di Malaysia lebih kompleks kerana lorong kecemasan sering digunakan penunggang motosikal untuk memintas kesesakan, sekali gus mewujudkan zon konflik langsung antara trafik bergerak laju dan aktiviti statik.

“Ini bukan sekadar insiden terpencil. Ia adalah risiko struktur apabila amalan penguatkuasaan bertembung dengan realiti trafik lebuh raya moden,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar semua pemeriksaan rutin dipindahkan ke zon terkawal seperti plaza tol, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian khas yang direka untuk tujuan tersebut.

Bagi hentian yang tidak dapat dielakkan, seperti respons kecemasan atau ancaman keselamatan segera, beliau mengesyorkan penggunaan kenderaan penampan (shadow vehicle) di bahagian hulu lokasi dengan lampu amaran intensiti tinggi serta pengurusan trafik sementara.

“Perlindungan kenderaan penampan perlu dijadikan prosedur mandatori, bukan pilihan. Ini selaras dengan pendekatan ‘safe system’ yang mengandaikan kesilapan manusia pasti berlaku dan pendedahan kepada trafik berkelajuan tinggi mesti diminimumkan,” katanya.

Jamil berkata, tragedi Tangkak wajar dilihat sebagai peluang pembelajaran di peringkat sistem.

“Lebuh raya direka untuk meminimumkan kesan kesilapan pemandu. Tetapi apabila manusia dijadikan sasaran tetap di bahu jalan, kesilapan kecil boleh menjadi ‘fatal’. Prosedur perlu diselaraskan dengan tahap risiko trafik semasa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.