`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, February 28, 2026

Pakar syor subsidi susu berperingkat, tumpu kanak-kanak bawah 5 tahun

 Hamid Jan Jan Mohamed berkata lima tahun pertama kehidupan disifatkan fasa paling kritikal bagi pertumbuhan tulang dan perkembangan otak kanak-kanak.

playground kanak kanak
Jawatankuasa Parlimen diketuai Yeo Bee Yin cadang subsidi produk susu diperkenalkan atau disasar semula bagi atasi masalah kekurangan nutrisi yang menyumbang kepada isu bantut di kalangan kanak-kanak.
PETALING JAYA:
 Kerajaan dicadang melaksanakan program subsidi produk susu secara berperingkat dengan tumpuan kepada kanak-kanak bawah lima tahun bagi mencegah masalah bantut serta kekurangan nutrisi di kalangan kanak-kanak.

Pensyarah Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Hamid Jan Jan Mohamed berkata lima tahun pertama kehidupan disifatkan fasa paling kritikal bagi pertumbuhan tulang dan perkembangan otak kanak-kanak kerana perubahan fizikal serta mental berlaku dengan sangat pesat dalam tempoh tersebut.

Menurut beliau, pemberian susu selepas usia sekolah rendah masih memberi manfaat, namun kesannya tidak ketara berbanding intervensi awal.

“Pemberian susu ibu sumber nutrisi terbaik untuk tumbesaran kanak-kanak yang optimum. Namun, dalam keadaan tertentu susu formula terpaksa diberikan agar kanak-kanak mendapat sumber alternatif dari susu untuk bantu pencegahan dan masalah anemia.

Hamid Jan Jan Mohamed
Hamid Jan Jan Mohamed.

“Subsidi susu dapat mengurangkan harga susu formula dan seterusnya dapat menggalakkan pengambilan susu terutama dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga yang tidak berkemampuan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen, Yeo Bee Yin supaya subsidi produk susu diperkenalkan atau disasar semula bagi membantu mengurangkan masalah kekurangan nutrisi yang menyumbang kepada isu bantut dalam kalangan kanak-kanak.

Pada 25 Feb lalu Yeo berkata walaupun susu antara sumber nutrien yang efektif dan mudah untuk memastikan pertumbuhan sihat kanak-kanak, bekalan dan harganya tidak diberi perhatian sewajarnya berbanding minyak masak dan gula yang menerima subsidi tahunan besar.

Yeo berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun ialah 21.2% meningkat berbanding 17.7% pada 2015, dengan Malaysia satu-satunya negara Asean yang merekodkan peningkatan kadar bantut dalam tempoh 2000 hingga 2024.

Beliau berkata jawatankuasa turut mengesyorkan supaya mekanisme pemantauan wajib diperkenalkan bagi setiap kanak-kanak bawah lima tahun bagi memastikan pertumbuhan mereka dipantau secara sistematik dan intervensi diberikan segera.

Selain itu, skop intervensi pemakanan dan kesihatan kanak-kanak dicadang dilanjutkan daripada 1,000 hari pertama kehidupan kepada 2,000 hari, iaitu sehingga usia lima tahun.

Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Barakatun Nisak Mohd Yusof menyambut baik cadangan Yeo namun menegaskan masalah itu perlu dilihat secara menyeluruh.

Barakatun Nisak Mohd Yusof
Barakatun Nisak Mohd Yusof.

Barakatun berkata masalah bantut bukan berpunca daripada kekurangan satu makanan sahaja, sebaliknya melibatkan kekurangan zat makanan kronik, jangkitan berulang dan faktor sosioekonomi.

“Program bakul makanan oleh Kementerian Kesihatan untuk kanak-kanak 1 hingga 5 tahun memang telah disasarkan kepada kanak-kanak kurang zat makanan dan keluarga berkeperluan ekonomi (B40), ini menunjukkan akses kepada makanan asas telah pun diberi perhatian.

“Justeru, cabaran utama kini bukan sekadar menambah satu komponen seperti susu, tetapi memastikan kualiti diet keseluruhan, pematuhan, dan keberkesanan intervensi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya intervensi dilaksanakan seawal kehamilan dan diteruskan sepanjang 1,000 hingga 2,000 hari pertama kehidupan melalui pemakanan ibu dan penyusuan susu ibu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.