Rosli Khan berkata ketidakselarasan penguatkuasaan polis dan JPJ di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh menimbulkan kekeliruan dan keraguan.

Perunding pengangkutan Rosli Khan mempersoalkan logik di sebalik ketidakselarasan itu, memandangkan kedua-dua badan penguatkuasa itu berpandukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Adalah tidak logik sekiranya dua pihak badan penguatkuasa tidak selari dan berbeza pendapat dalam penguatkuasaan satu akta yang sama.

“Kita pernah melihat saman-saman dikenakan dalam kesalahan sama, contohnya melebihi had laju, tetapi menerima kadar diskaun berbeza antara polis dan JPJ,” katanya kepada FMT.
Justeru beliau mencadangkan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera ‘duduk semeja’ menyelaraskan SOP bagi mengelakkan timbulnya keraguan terhadap kredibiliti sistem penguatkuasaan.
“Perlu diselaraskan juga jumlah kompaun dikenakan oleh dua badan penguatkuasa supaya ia lebih berkesan dan dipandang serius rakyat keseluruhannya.
“Kita semua berpandukan kepada akta yang sama. Kenapa mesti diadakan perbezaan dari segi kaedah penguatkuasaan?” katanya.
Khamis lalu, FMT melaporkan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Muhammed Hasbullah Ali yang polis mengekalkan sekatan jalan raya fizikal, meskipun Kementerian Pengangkutan menggesa JPJ beralih ke arah penguatkuasaan berasaskan teknologi.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada bulan lalu berkata kerajaan bercadang mengurangkan kebergantungan kepada sekatan jalan raya fizikal yang sering menyebabkan kesesakan lalu lintas, dengan beralih kepada penguatkuasaan automatik menggunakan Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR).

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) Law Teik Hua berpandangan perbezaan pendekatan antara polis dan JPJ mencerminkan mandat berbeza namun boleh mengelirukan rakyat.
“Tanpa penyelarasan, mesej dasar boleh bercanggah di mata rakyat. Maka adalah wajar diwujudkan satu jawatankuasa bebas antara agensi yang melibatkan MOT, JPJ, polis, MIROS, dan MAMPU untuk menyatukan visi dan KPI rentas agensi.
“Ini bukan bertujuan menafikan kuasa operasi polis, tetapi bagi memastikan kesepaduan dasar selari dengan hala tuju kementerian,”katanya.
Tambahnya, badan bebas itu berperanan menyelaraskan SOP agar sekatan fizikal menjadi lebih bersasar dan bukannya rutin menyeluruh, serta menentukan kriteria bila teknologi patut mendahului dan bila sekatan fizikal diperlukan.
“Ia juga boleh memuktamadkan integrasi data antara JPJ dan polis, serta meluluskan audit impak trafik dan privasi sebelum pelaksanaan SOP baharu,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.