`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, February 11, 2026

Jurutera ubah desa jadi destinasi pelancongan, rancak ekonomi penduduk

 Fakhrul Nazhi Hanaffi bangunkan inap desa dikenali sebagai Nusantara Village di Jeram, Selangor yang kini popular dalam kalangan pelancong.

Inap desa Nusantara Village yang terletak di Kampung Bukit Hijau di Jeram, Selangor kini jadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri. (Gambar Nusantara Village)
KUALA SELANGOR:
 Seorang jurutera berjaya buktikan inisiatif pelancongan desa yang beliau bangunkan di Kampung Bukit Hijau di Jeram, Selangor mampu menarik kehadiran pelancong dan pada masa yang sama bantu merancakkan ekonomi penduduk.

Walaupun terletak di kawasan yang agak terpencil, kira-kira 50km dari Kuala Lumpur, inap desa milik Fakhrul Nazhi Hanaffi itu dilengkapi kemudahan moden seperti kolam renang dan taman tema air mini.

Fakhrul Nazhi Hanaffi
Fakhrul Nazhi Hanaffi.

Inap desa yang dikenali sebagai Nusantara Village itu juga menawarkan pelbagai jenis penginapan dan bilik yang memenuhi keperluan pengunjung terutama yang berkeluarga.

“Ramai pelancong luar dan domestik sebenarnya berminat untuk merasai suasana desa namun mereka juga inginkan keselesaan terutamanya yang datang bersama keluarga,” kata Fakhrul yang turut memiliki beberapa syarikat berkaitan kejuruteraan pembinaan.

Bagi menyokong usaha Kerajaan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026, jurutera struktur berusia 46 tahun tersebut menggunakan pengalaman beliau selama lebih 16 tahun dalam projek berskala besar untuk membangunkan projek pelancongan desa berteraskan komuniti yang berdaya maju.

Antara perkara yang diberikan tumpuan adalah bilik tidur yang selesa, tandas yang cantik dan bersih serta makanan istimewa termasuk juadah tradisional yang mampu mengembalikan semula nostalgia di desa.
Nusantara Village turut dilengkapi kemudahan moden seperti kolam renang dan taman tema air mini. (Gambar Nusantara Village)

Beberapa penginapan yang ditawarkan merupakan rumah tradisional diperbuat daripada kayu, tetapi Fakhrul berkata ia tetap dilengkapi kemudahan bertaraf resort bagi memberi keselesaan kepada tetamu.

“Seiring dengan trend pada masa ini, kami juga pastikan Nusantara Village mempunyai nilai estetika yang tinggi agar pengunjung dapat merakamkan momen indah di setiap sudut dan berkongsi dalam platform sosial media masing-masing,” katanya.

Selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung, Nusantara Village turut membuka peluang ekonomi dengan membeli bahan mentah seperti ikan dan sayur-sayuran daripada mereka.

Lebih menarik, sempena Ramadan tidak lama lagi, Nusantara Village turut menawarkan bufet buka puasa istimewa yang menyajikan juadah kampung termasuk siput sedut masak lemak, asam pedas dan gulai tempoyak ikan patin.

Sempena Ramadan, Nusantara Village turut menawarkan bufet Ramadan istimewa yang menyajikan juadah kampung termasuk siput sedut masak lemak, asam pedas dan gulai tempoyak ikan patin. (Gambar Nusantara Village)

“Bufet Ramadan kami juga menyediakan kuih-muih tradisional yang dibekalkan oleh penduduk kampung seperti kole kacang, seri muka, kuih koci dan kuih lapis.

“Oleh kerana penduduk kampung masih mengekalkan cara penyediaan tradisional, rasanya sudah tentu lebih asli dan enak,” kata Fakhrul yang amat meminati juadah kampung.

Selain hospitaliti dan makanan, lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari UiTM dan Sarjana Kejuruteraan Struktur UTM itu turut mengetengahkan elemen eko-pelancongan di Nusantara Village, termasuk membangunkan ladang ‘Golden Melon’ berasaskan teknik hidroponik.

“Selain berkongsi kepakaran dengan penduduk kampung, kita juga mahu tetamu di Nusantara Village diberi pendedahan kepada pertanian moden, keselamatan makanan dan nilai komersial hasil tempatan,” katanya.

Selain Nusantara Village, Fakhrul yang dibantu isteri Farah Wahida Othman, 46, sebagai pengurus pentadbiran dan kewangan turut mengendalikan inap desa di Setia Alam, Batu Pahat dan Muar di Johor.

“Saya yakin, gabungan elemen desa dan kemudahan bertaraf resort yang diperkenalkan pihak kami mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara di sampling memberi peluang pelancong asing merasai pengalaman bercuti di desa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.