Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia berkata sebarang penarikan perlu dilakukan secara berfasa bagi mengelakkan kejutan pasaran.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Mohsin Abdul Razak, berkata pihaknya memahami bahawa subsidi tidak boleh dikekalkan selamanya namun sebarang penarikan perlu dilakukan secara berfasa bagi mengelakkan kejutan pasaran.
“Kami ‘setuju dengan waspada’ kerana masa keputusannya sangat kritikal. Jika harga bahan mentah naik mendadak, ia akan mencetuskan kesan rantaian yang sukar dikawal,” katanya kepada FMT.
Bagi restoran besar yang mempunyai kos overhed tinggi, menurut Mohsin, kenaikan harga gula akan memberi kesan langsung kepada kos pembuatan menu asas seperti roti canai, masakan serta minuman sekali gus menipiskan lagi margin keuntungan yang sedia kecil.
Katanya, peniaga kecil seperti di gerai dan warung turut terkena tempias kerana mereka bergantung sepenuhnya pada margin jualan harian untuk bertahan.
Tambahnya, beliau juga khuatir ada pihak yang mengambil kesempatan menyorok stok sementara menunggu harga baharu selain risiko pembelian panik oleh pengusaha dan pengguna.
“Justeru kami berharap kerajaan memastikan mekanisme pengedaran kekal lancar dan penguatkuasaan diperketatkan bagi mengelakkan manipulasi bekalan di peringkat pemborong.
“Kerajaan juga disaran duduk berbincang dengan persatuan peniaga sebelum memuktamadkan sebarang mekanisme bagi memastikan situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai antara kerajaan, peniaga dan pengguna,” katanya.
Langkah itu turut disambut baik oleh Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Nur Asyikin Aminuddin yang berkata Malaysia kini mencatatkan antara kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) dan obesiti tertinggi di rantau ini yang sebahagian besarnya berpunca daripada akses mudah kepada gula yang murah.
Katanya, peruntukan insentif gula yang menelan belanja kira-kira RM42 juta sebulan wajar dialihkan kepada program pendidikan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengurangkan pengambilan gula dan garam.
“Kita juga menggesa pihak berkuasa mempertingkatkan penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi mengelakkan manipulasi harga di kalangan peniaga tidak bertanggungjawab.
“Terdapat kebimbangan bahawa segelintir peniaga tidak bertanggungjawab mungkin menggunakan alasan kenaikan harga gula untuk menaikkan harga barangan lain, walaupun kos tersebut tidak memberi kesan langsung kepada sektor mereka,” katanya.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata pihaknya akan mengumumkan keputusan berhubung pengurangan insentif gula bagi pengilang tempatan dalam masa terdekat.
Beliau berkata pemberian insentif gula yang bersifat sementara itu kini sedang dikaji semula kementeriannya dan Kementerian Kewangan.
Kerajaan memberikan insentif kewangan kepada pengilang gula tempatan sejak November 2023, bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan disalurkan secara berterusan.
Langkah itu diambil sementara mekanisme terbaik berhubung harga dan pengeluaran gula dimuktamadkan. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.