Dalam isu kuil ramai yang termakan dengan perasaan perkauman sehingga lupa tentang fakta.

Berikutan tercetusnya isu membabitkan kuil Hindu di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, dengan syarikat pembekal tekstil Jakel Trading Sdn Bhd tahun lalu, S Arulchelvan, timbalan presiden Parti Sosialis Malaysia menulis artikel yang beliau harap dapat membuka hati dan minda rakyat pelbagai agama untuk melihat aspek yang rumit ‘di dalam konteks lebih jelas dan nyata’.
Artikel ditulis dalam bahasa Melayu dan dihantar kepada dua akhbar berbahasa Melayu. Tetapi kata Arul, kedua-dua akhbar tidak menyiarkannya kerana menyifatkan penulisan itu terlalu panjang. Lantas artikel hanya disiar di sosialis.net, portal milik PSM.
Diakui artikel beliau memang panjang. Saya faham mengapa begitu jadinya. Isu yang dibentang memang sukar malah mustahil ditulis pendek dan ringkas mengambil kira pelbagai aspek.
Isu kuil ‘haram’ timbul semula dewasa ini. Ada yang guna istilah ‘rumah ibadat haram’. Bagi sesetengah pihak ‘rumah anutan haram’. Apa pun namanya isunya sama. Dan oleh kerana ia sedang terhidang di hadapan kita sekarang, saya petik sebahagian penulisan Arul dan sajikan di artikel ini.
Kata Arul, pendiriannya memang bangunan kuil tidak boleh dibina sewenang-wenangnya. Maka perlu diselia. “Kuil yang saya tidak setuju adalah kuil yang dibina sewenang-wenang tanpa asas tradisi dan tiada pengikut yang ramai”, katanya sambil menegaskan “ramai juga orang India Hindu sendiri yang tidak setuju dengan kuil jenis ini.”
Menurut beliau, ada juga ‘segelintir kuil yang dibina oleh kumpulan gengster, di mana kuil itu hanya menjadi satu bentuk penutup kepada kerja tidak baik yang dilakukan mereka’.
Dan kata Arul, ada juga kuil milik keluarga yang lama-kelamaan keluarga berkenaan membesarkan struktur dan mengadakan perayaan tertentu. “Bagi saya pihak berkuasa tempatan patut bertindak terhadap kuil-kuil ini di mana struktur mesti berada di dalam kawasan persendirian keluarga dan tidak boleh sekali kali mengganggu jiran. Dan kuil keluarga tidak sepatutnya ditukar status menjadi kuil awam.”
Pun begitu kata Arul, melabel semua kuil sebagai penceroboh dan haram adalah tidak betul dan tidak berasas. Mengikut penghayatannya, kata Arul ada tiga jenis (kategori?) kuil.
Jenis pertama menurut beliau ialah kuil yang mempunyai geran, didirikan atas tanah sendiri atau tanah yang telah diluluskan oleh pentadbir tanah daerah masing masing. Kuil seperti ini tidak ada isu status undang undang.
Kuil jenis kedua kata Arul adalah kuil besar yang telah wujud berdekad lamanya. Saya menganggap kuil yang didirikan di dalam kawasan ladang sebagai kuil kategori kedua.
Ia memberi escapism kepada masyarakat yang ditindas oleh majikan penjajah British dan kemudian oleh majikan tempatan. Biasanya ada dua institusi yang disokong majikan iaitu kedai todi dan kuil kerana kedua-duanya beri satu jalan keluar kepada pekerja ladang yang ditindas dengan gaji rendah dan keadaan kerja yang teruk.
Kuil-kuil itu kata Arul lagi, asalnya berada di atas tanah syarikat perladangan yang tidak membenarkan tanah dipindah milik kepada jawatankuasa kuil.
Namun, sejak tahun 1980-an dan era perindustrian banyak ladang bertukar menjadi kawatan industri dan perumahan. “Maka kuil mungkin diusir atau ada juga yang dibiarkan di tanah tersebut,” menurut Arul.
Kesimpulannya begini. Dulu kuil teletak di pinggir bandar atau di kawasan pedalaman. Tiada siapa yang ambil kisah dan nilai hartanya terlalu rendah.
“Tetapi hari ini disebabkan urbanisasi kuil-kuil seolah-olah terletak di tengah bandar, jalan raya dan pekan,” kata Arul. Ini kata saya menimbulkan rasa tidak seang sesetengah orang bukan Hindu.
Oleh kerana sememangnya kuil wujud terdahulu timbul persoalan mengapa kuil tidak memohon tanah atau beli sahaja tanah di atasnya ia terdiri?
“Mereka yang sembahyang di kuil-kuil ini terdiri daripada kelas pekerja buruh bawahan bukan mereka yang berpendapatan tinggi yang boleh beli tanah seperti yang sering dicadangkan. Mereka adalah daripada kelas B40 dan bawahan,” menurut Arul.
Dan selain itu kata beliau, kuil seperti itu susah dapat kelulusan untuk pembelian tanah. “Oleh sebab sistem Torrens kuil kemungkinan berada di atas tanah orang lain atau tanah kerajaan.”
Carian Google menjelaskan sistem Torrens ialah sistem pendaftaran hak milik tanah yang berasaskan prinsip pendaftaran adalah segala-galanya. ‘Registration is everything’ diperkenalkan di negara ini sejak 1882 untuk menjamin hak pemilikan melalui dokumen yang didaftar secara sah.
Berbalik kepada Arul. Beliau akui ‘banyak juga kuil yang berada di kawasan jalan raya telah diberi tempat ganti oleh kerajaan tempatan dan mereka sudah berpindah’. Namun, katanya “kita perlu faham adalah tidak semudah itu untuk kuil dapat membeli geran tanah tapak yang diduduki mereka.”
Dalam suasana sama memang ada kuil di tapak beberapa hospital. Ini keadaannya untuk sekian lama. Menurut Arul, pihak pentadbiran hospital biasanya menggarisikan sedikit syarat seperti tidak main gendang, tidak menggunakan pembesar suara juga tidak membunyikan loceng. Ini kata beliau biasanya dipatuhi kuil.
Sejak bertahun lamanya kata Arul, masyarakat Melayu daripada doktor, jururawat sehingga pekerja lain tidak pernah komplen. “Boleh dikatakan masyarakat zaman dahulu mempunyai nilai toleransi yang tinggi berbanding masyarakat sekarang yang terlalu selesa dan mendapat sumber maklumat daripada media sosial,” katanya.
Arul menegaskan, apabila isu kuil meletup timbul persepsi bahawa orang Islam bina masjid di tanah wakaf tetapi orang Hindu bina kuil di atas tanah orang lain.
Lantas beliau mengimbau “saya dan ahli PSM pernah membela banyak kampung setinggan atau yang kami panggil peneroka bandar yang majoritinya orang Melayu Islam berpendapatan rendah”. Mereka berhijrah dari desa ke bandar pada tahun 1970-an untuk menyahut seruan perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.
Di semua kampung setinggan itu pasti ada surau atau masjid didirikan oleh peneroka bandar. Setelah beberapa dekad duduk di kawasan berkenaan kata Arul “tiba-tiba satu hari wujud konflik apabila pemaju hartanah membeli tanah dan penduduk diberi notis pindah. Surau dan tempat ibadat dipanggil surau haram dan peneroka bandar yang membangunkan kawasan dipanggil penceroboh.”
Kata Arul lagi, “imej kanak-kanak merantai diri di surau Kampung Berembang masih jelas dalam ingatanku. Tempat ibadat yang selama ini beri penduduk keyakinan dan kekuatan diroboh oleh pemilik tanah yang kaya.”
Bagi Arul isunya ialah isu kelas bukan isu kaum. “Dalam isu kuil ramai yang termakan dengan perasaan perkauman sehingga lupa tentang fakta. Apabila kita lihat ada gerakan dalam media sosial yang membuta tuli meminta semua kuil dirobohkan termasuk yang dah lama wujud adalah tidak rasional dan bukannya untuk kebaikan bersama.”
Namun, pada masa sama kata beliau perlu ada pengawalseliaan supaya kuil tidak dibina sesuka hati dan aspek sejarah, tradisi serta undang undang dibicara bersama.
Kata Arul, “sebagai seorang insan yang biasa mempertahankan marhaen pelbagai kaum, yang berada di hadapan penilaian saya hanyalah siapa kaya, siapa miskin? Siapa menindas dan siapa ditindas? Dan akhirnya siapa yang perlu dibela?”
Persoalan yang saya kira wajar direnung untuk cari jawapan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.