`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, February 10, 2026

Sindiket Fake BTS tumpas di Johor, kenderaan dijadikan platform pemancar

 SKMM patahkan sindiket yang memintas rangkaian dan menghantar SMS palsu termasuk penipuan kewangan kepada pengguna.

SKMM mengesan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran stesen pangkalan palsu atau Fake BTS dalam di sekitar Bukit Chagar, Johor Bahru. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menumpaskan satu lagi aktiviti sindiket pemancaran stesen pangkalan palsu atau fake base transceiver station (Fake BTS), kali ini dalam operasi di Bukit Chagar, Johor Bahru.

SKMM berkata operasi itu dilaksanakan susulan maklumat awam serta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran SMS palsu kepada pengguna.

Menurutya, dalam operasi bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pasukan penguat kuasa telah mengenal pasti seorang individu serta sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.

“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya.

“Maklumat siasatan turut mendapati individu terlibat direkrut melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, taktik sindiket bagi meluaskan operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka,” katanya dalam kenyataan.

Fake BTS merujuk kepada peranti pemancar palsu untuk memintas sambungan rangkaian dan menghantar mesej palsu seperti penipuan kewangan secara terus ke telefon pengguna.

SKMM berkata penemuan itu mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu di bawah Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntuk denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.