`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, February 25, 2026

UMPSA siasat dakwaan penyebaran kandungan 3R babit graduan

 Universiti itu beri amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang didapati bersalah di bawah Kaedah Tatatertib Pelajar 2024.

UMPSA mengingatkan pelajarnya tidak menyebarkan kandungan menyentuh isu 3R di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara. (Gambar UMPSA)
PETALING JAYA:
 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memandang serius hantaran tular di media sosial didakwa menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R) babitkan seorang graduannya.

Semalam tular satu hantaran berbaur 3R membabitkan seorang individu bukan beragama Islam yang memuat naik gambar memijak kitab suci Al-Quran.

Dalam kenyataan, universiti itu berkata UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian.

“Sentimen 3R tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti,” menurut UMPSA.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024.

UMPSA turut mengingatkan seluruh warganya supaya sentiasa mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

“Warga UMPSA diingatkan agar tidak menyebarkan kandungan menyentuh isu 3R di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.