Pengerusinya Ismail Salleh berkata industri itu sangat bergantung kepada penggunaan mesin dan jentera yang kos operasinya meningkat susulan kenaikan harga diesel.

Pengerusinya Ismail Salleh berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan kini menunggu keputusan akhir Kementerian Kewangan selepas dibincangkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Menurutnya, industri padi sangat bergantung kepada penggunaan mesin dan jentera, sekali gus menyebabkan kos operasi meningkat susulan kenaikan harga diesel yang kini mencecah RM6.02 seliter.
“Kos ditanggung pesawah dan pelandang semakin besar.

“Jika industri padi dimasukkan dalam SKDS, langkah itu dapat membantu meringankan beban pesawah dan peladang,” katanya kepada FMT.
Melalui SKDS 2.0, kenderaan layak menggunakan fleet card untuk membeli diesel bersubsidi RM2.15 seliter bagi mengelak kenaikan kos pengangkutan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu baru-baru ini berkata cadangan menaikkan dan memperluas pemberian subsidi diesel kepada pemain industri pertanian termasuk pesawah, petani dan nelayan dibawa ke Kabinet bagi pertimbangan lanjut.
Menurutnya, antara langkah dicadangkan ialah memperluas pemberian subsidi diesel melalui sistem kad fleet kepada lebih ramai pemain sektor pertanian, selain meneliti kemungkinan menaikkan kadar subsidi sedia ada.
Mengulas cadangan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, supaya harga lantai padi dinaikkan susulan kenaikan diesel, Ismail berkata langkah itu hanya sesuai jika harga beras tempatan turut diselaraskan.
Katanya, kenaikan harga lantai padi tidak boleh dibuat secara berasingan selagi harga beras putih tempatan kekal pada kadar semasa.
“Kalau harga lantai padi dinaikkan, harga beras putih juga perlu disemak semula. Jika kerajaan mahu membantu golongan tertentu mendapatkan beras lebih murah, bantuan itu boleh disalurkan menerusi STR kerana data penerima sudah tersedia,” katanya.
Sebelum ini, pesawah melahirkan kebimbangan kenaikan harga diesel akan terus meningkatkan kos operasi dan menjejaskan kelangsungan industri padi.
Susulan itu, Saifuddin berkata kerajaan wajar mempertimbangkan kenaikan harga lantai padi bagi mengelakkan pesawah terus menanggung kerugian serta menjaga keterjaminan bekalan makanan ruji negara.
Kali terakhir harga lantai belian padi diselaraskan pada Feb tahun lalu yang menyaksikannya dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi membantu pesawah menyerap kos operasi serta menambah pendapatan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.