`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, May 5, 2026

13 Mei dan pemikiran semula khutbah agama

 Jangan pula 13 Mei jadi batu nisan apabila kita tidak memperingatinya sebagai kegagalan untuk menerima hakikat bahawa kita semua adalah keluarga sesama manusia.

tajuddin rasdi

Sekali lagi 13 Mei akan menjengah kita semua rakyat Malaysia. Ramai keluarga yang mempunyai anak-anak, saudara mara dan sahabat handai yang terkorban dalam peristiwa yang amat perit sebagai sejarah negara, kita akan memperingati waktu sugul itu. Sekali lagi, seperti tahun lepas, saya dijemput oleh NGO Pesawa untuk memberi satu dua kata di perkuburan 13 Mei di Sungai Buloh. Saya kira seperti tahun lepas saya akan berucap selama lima minit atau lebih sedikit di bawah panas terik pagi Sabtu, 9 Mei ini.

Selepas hari tersebut, keesokannya pula saya dijemput sebagai panelis forum 13 Mei di Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall jam 2.30 petang. Forum itu dalam bahasa Inggeris tetapi saya memberitahu penganjur slaid dan ucapan saya akan dalam bahasa Malaysia. Mereka akur permintaan saya. Terfikir saya lagi bahawa kedua-dua majlis ini adalah ulang tayang tahun lepas dan saya agak sedih kerana tiada orang Melayu lain yang dijemput untuk berucap melainkan saya.

Dalam artikel tahun ini, saya ingin membawa isu bahawa 13 Mei adalah akibat daripada kegagalan pendidikan agama kita semua. Saya anggap semua agama memainkan peranan dalam mendidik penganut sebagai ‘isolated community’ atau komuniti terasing. Saya anggap bahawa tema khutbah agama yang setiap minggu diucapkan hanya akan khusus kepada komuniti penganut masing-masing dan keterasingan ini akhirnya menjadi makanan kepada politik toksik yang memainkan sentimen agama dan kaum. Saya ingin mengajak rakyat Malaysia sama-sama membawa suatu pemikiran baharu tentang pendidikan agama dan nilai kemanusiaan sebagai teras utama aspek ketinggian rohani dan mendekatkan diri dengan tuhan masing-masing.

Mesej utama tulisan ini adalah bahawasanya penyediaan khutbah agama boleh mewujudkan isi kandungan yang berupaya merapatkan jurang antara manusia dan juga mengukuhkan tali perpaduan aspek bina bangsa dalam negara.

Kebanyakan khutbah dan ceramah agama hanya eksklusif membicarakan tentang isu agama yang berlegar dalam masyarakat penganut tersebut. Aspek ini telah berlaku lebih 70 tahun dan ia bakal menjadi jurang besar dan utama kepada aspek membina jambatan antara manusia dan antara kaum di negara kita.

Saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Perpaduan Negara untuk mengadakan suatu siri bengkel penulisan khutbah agama selama tiga hari setiap sesi untuk sama-sama membincangkan dan menghasilkan teks khutbah agama yang mencerminkan perkara berikut:

I. Darah manusia dicipta tuhan supaya ia boleh dipindahkan untuk menyelamatkan nyawa semua manusia mengikut jenis-jenis darah khusus. Ini patut menunjukkan bahawa manusia adalah satu keluarga dan agama tidak wajar menjadi garis pemisah antara manusia.

II. Organ-organ manusia seperti buah pinggang, jantung dan hati boleh dipindahkan antara manusia yang mempunyai keupayaan khusus dan ini sekali lagi menghasilkan persaudaraan biologi bagi semua manusia tanpa mengira penganut mana-mana agama.

III. Manusia saling bergantungan kepada alam persekitaran seperti udara, tumbuh-tumbuhan dan keberadaan air minum bagi kesihatan dan kewujudan semua. Kesan alam persekitaran di suatu tempat akan mengakibatkan kesan kepada tempat yang lain. Maka manusia, tidak kira agama apa, semua berbumbungkan langit yang satu, semua berdindingkan bukit-bukau hutan belantara merentas semua penganut agama dan akhir sekali semua manusia berlantaikan lautan air dan tanah rata untuk berdiri dan bergiat di atas atau di dalamnya.

IV. Manusia perlu mempunyai perkongsian ekonomi bagi membahagikan bahan mentah dari perut bumi dan hutan belantara serta ternakan haiwan. Pengurusan makanan adalah paling penting sebagai pertalian persaudaraan antara manusia untuk terus hidup dalam kesihatan optimal.

V. Manusia perlu berkongsi kepakaran teknologi merentas kaum, politik dan agama untuk memastikan maklumat, ilmu dan keupayaan tenaga mekanikal dan mesin dimanfaatkan untuk semua manusia.

VI. Manusia perlu membetulkan penulisan sejarah perkelahian dan pergaduhan antara manusia seperti dalam perang salib dan perang antara agama di Asia supaya naratif negatif sejarah tidak lagi digunakan asas sebagai polemik ekstremisme politik.

Saya mencadangkan suatu modul bengkel penyediaan khutbah agama yang mempunyai konten untuk menjadi jambatan antara manusia dan sebagai asas kukuh aspek bina bangsa merentas kaum dan agama. Bengkel ini memberi suatu peringatan penting bahawa kita hidup di dunia sebagai manusia dan tuhan telah menciptakan semua manusia supaya mereka saling bantu-membantu dan saling menghormati kerana semua manusia saling bergantung terus kepada biologi yang sama, kerjasama sosial yang bermuamalah sesama kita dan penjagaan alam persekitaran yang seimbang bagi mengekalkan kehidupan sebaik dan sewajarnya untuk semua.

13 Mei adalah tragedi perit bagi negara kita. Tetapi 13 Mei adalah dua jenis batu kepada kita semua. Ia boleh menjadi batu loncatan serta batu petanda bagaimana kita bergerak ke destinasi masa depan yang harmoni. Jangan pula 13 Mei menjadi batu nisan kepada kita semua apabila kita tidak memperingatinya sebagai kegagalan kita untuk menerima hakikat bahawa kita semua adalah keluarga sesama manusia. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.