`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Monday, May 4, 2026

Perlis mampu muncul sebagai ‘Dubai Kedua’, titah Raja Perlis

 Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda yakin dan percaya negeri itu mampu berkembang sebagai pusat dagang, pusat inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan merasmikan Nat Antarabangsa Angkasa Perlis 2026 di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran di sini malam tadi. (Gambar Bernama)
KANGAR:
 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail meyakini Perlis mampu muncul sebagai ‘Dubai Kedua’, iaitu pintu gerbang terbuka kepada negara-negara Asean dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda yakin dan percaya negeri itu mampu berkembang sebagai pusat dagang, pusat inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau, dengan kedudukan strategik Perlis di utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand.

“Saya juga berharap untuk beberapa tahun yang mendatang. Jika Dubai mampu dikenali di persada dunia sebagai pintu gerbang terbuka ke Timur Tengah, maka saya yakin negeri Perlis juga mampu muncul sebagai sebuah “Dubai Kedua”.

“Didukung oleh iltizam kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Kuskop (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan kekuatan gerakan koperasi, saya yakin dan percaya Perlis mampu berkembang sebagai pusat dagang, pusat inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Nat Antarabangsa Angkasa Perlis 2026 di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Abdul Fattah Abdullah.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah penganjuran nat itu bukan sekadar platform wacana dan pertukaran idea, bahkan menampilkan dimensi lebih meluas yang menghimpunkan penyertaan dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan China.

Raja Perlis bertitah program itu menggambarkan ia bukan sahaja mendapat sambutan di peringkat negeri dan nasional, malah berjaya menarik perhatian serta penyertaan antarabangsa, sekali gus mengangkat Perlis sebagai medan jaringan ekonomi koperasi serantau yang semakin diyakini dan dihormati negara lain.

“Ini satu pengiktirafan besar terhadap potensi negeri ini, dan saya amat menghargainya,” titah baginda. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.