
Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, berkata ada di antara peserta Malaysia yang cedera ketika dalam tahanan Israel.
“Ya, ada yang cedera kerana dipukul zionis Israel. Alhamdulillah mereka sudah menjalani rawatan dan (dalam situasi) boleh meneruskan misi ini semula.
“Namun, kita beri hak untuk mereka sendiri buat keputusan nak teruskan atau sebaliknya. Ini kerana mereka baru melalui situasi sukar, kapal dipintas Israel dan pelbagai pengalaman lain.
“Jadi, ketika ini perbincangan sedang dijalankan untuk memuktamadkan hala tuju mereka,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, jika aktivis Malaysia mahu meneruskan misi itu, mereka dijangka bersama aktivis negara lain memulakan pelayaran seawal esok atau Selasa ini kerana cuaca tidak mengizinkan ketika ini akibat ribut.
“Pelayaran bagi kumpulan kali ini, termasuk delegasi Malaysia membabitkan 15 kapal yang akan bergerak dari Pelabuhan Marmaris, Turki untuk meneruskan misi kemanusiaan GSF.”
Beliau dalam video dimuat naik malam tadi turut memaparkan wajah peserta Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul bersama aktivis negara lain.
Kehadiran mereka disambut sorakan dan kata-kata semangat. Turut kelihatan dalam video itu ialah Pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad, Dr Jihan Alya Mohd Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Syria Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang berhasrat meneruskan pelayaran bagi menentang kepungan Israel ke atas Gaza.
Tujuh lagi peserta Malaysia yang ditahan Israel sebelum ini ialah Mohd Hanafi Mohd Salim, Norhelmi Ab Ghani, Hazwan Hazim Dermawan, Osman Zolkifli, Mohd Shamsir Mohd Isa, Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby, mengesahkan pembebasan 175 aktivis kemanusiaan GSF, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kapal mereka dipintas sebelum ditahan rejim Zionis.
SNCC memaklumkan kerajaan Turki menyediakan pesawat berkapasiti 160 penumpang untuk membawa pulang aktivis terbabit. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.