`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Monday, May 4, 2026

Media sosial saja tak cukup tarik belia sertai tentera, kata MBM

 Majlis Belia Malaysia berkata promosi kerjaya ATM perlu lebih autentik dengan menonjolkan peluang masa depan, teknologi dan pembangunan diri.

tentera army
Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata persepsi terhadap kerjaya tentera juga perlu diperbaharui untuk tarik belia ke pasukan pertahanan negara itu.
PETALING JAYA:
 Kempen media sosial semata-mata tidak mencukupi untuk menarik lebih ramai belia menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Majlis Belia Malaysia (MBM).

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata strategi promosi perlu lebih autentik dan tidak hanya menampilkan imej luaran kerjaya ketenteraan.

Katanya, belia hari ini lebih tertarik kepada kandungan yang menunjukkan nilai, tujuan, peluang pembangunan diri dan prospek masa depan sesuatu kerjaya.

“Profesion tentera perlu ditonjolkan melalui aspek kepimpinan, kemahiran teknologi, disiplin, pengorbanan, keselamatan negara dan pembangunan profesional yang boleh dibina melalui perkhidmatan ATM,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berubung usaha pendekatan baharu menarik penyertaan belia, termasuk menerusi media sosial, pempengaruh dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Adly sebelum ini berkata keperluan menambah anggota baharu sentiasa wujud kerana kira-kira 5,000 anggota menamatkan perkhidmatan setiap tahun.

Izzat berkata penggunaan pengalaman sebenar anggota muda ATM serta pempengaruh digital boleh membantu membina naratif yang lebih dipercayai generasi muda.

Katanya, persepsi terhadap kerjaya tentera juga perlu diperbaharui kerana profesion itu tidak lagi hanya berkisar kepada peperangan dan latihan fizikal.

“ATM kini terlibat dalam pelbagai bidang strategik seperti keselamatan siber, teknologi dron, bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana, diplomasi pertahanan dan operasi pengaman antarabangsa.

“Jika aspek pemodenan ini diketengahkan secara konsisten, imej askar bukan sahaja kekal relevan, malah boleh dilihat sebagai kerjaya masa depan yang berprestij dan berimpak tinggi kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia Ahmad Faizal Sulaiman berkata imej tentera dalam kalangan belia perlu diperkasakan melalui penjenamaan baharu yang lebih dinamik.

Katanya, tentera perlu dilihat bukan sahaja sebagai pelindung negara, tetapi juga individu berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

“Kempen melalui media sosial memang berpotensi besar, namun pendekatannya perlu lebih strategik, autentik dan dekat dengan realiti kehidupan generasi muda hari ini,” katanya.

Faizal berkata penglibatan belia dalam pasukan keselamatan, termasuk askar sukarela seperti Askar Wataniah, penting bagi memastikan negara mempunyai kekuatan pertahanan mencukupi menghadapi sebarang ancaman. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.