`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, May 5, 2026

Berani kau tukar nama jalan?

 Kadangkala kita takut untuk berubah disebabkan andaian yang kita terlalu fikirkan tapi akhirnya tidak ada masalah pun.

ronasina

Baru-baru ini warganet kecoh dan marah apabila kerajaan Pulau Pinang (dibaca oleh sebahagian warganet sebagai kerajaan DAP) bertindak menukar nama jalan. Ini bukan perkara baharu, menurut mereka. Sebelum ini pun DAP didakwa sering melakukan pelbagai cubaan untuk menukar identiti Malaysia. Itulah yang membuatkan orang Melayu gelisah dengan DAP. Kali ini mahu tukar nama jalan. ‘Nama Cina’ pulak tu. Tak habis-habis cari pasal!

Warganet marah apabila ‘nama Cina’ dimasukkan ke Persiaran Pantai Sinaran. Bagaimanapun, Zairil Khir Johari selaku exco infrastruktur, pengangkutan dan digital Pulau Pinang menjelaskan nama Chin Fung Kee dipilih bagi menghargai jasa tokoh berkenaan yang memainkan peranan utama dalam projek infrastruktur mega di Pulau Pinang. Malah, mendiang adalah antara jurutera kanan yang terlibat dalam pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang pertama, sebuah projek ketika itu dianggap simbol kemodenan Malaysia.

Zairil menolak sentimen serta naratif perkauman yang tidak sihat dimainkan di media sosial dan tidak mencerminkan semangat perpaduan yang kita junjung. Ini kerana warganet hanya menumpukan ‘nama Cina’ itu sahaja sedangkan antara jalan lain yang turut ditukar nama ialah Jalan Sheikh Ibrahim (sebahagian Jalan Tanjong Tokong Lama), Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Lebuhraya Bandar Cassia), Jalan SA Abdullah Bukhari (sebahagian Jalan Ayer Itam), Solok Dato Ismail Hashim (sebahagian Jalan Tengah) serta Jalan M Kuppan (sebelum ini Jalan Jiran 1). Enam jalan di Pulau Pinang yang ditukar itu adalah nama tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri dan juga negara Malaysia. Mengapa sengaja nak cari salah?

Ya tak ya juga, kenapa nama lain tak dipetik sama? Yang dijadikan kontroversi, nama Cina sahaja. Ah, parti DAP sengaja buat kacau lagi, kata warganet. Nama lain itu hanya nak kaburi mata kita sahaja. Agenda DAP ini bukan baharu, kata warganet lagi. Pada 2023, kecoh apabila Jalan Temiang ditukar kepada Jalan Dr Chen Man Hin, bekas pengerusi dan penasihat seumur hidup DAP. Nampak?

Namun, pada masa sama, Jalan Sikamat juga ditukar kepada Jalan Datuk Syeikh Mohd Murtadza Ahmad, bekas mufti Negeri Sembilan. Dua-dua nama diberi penghormatan, tetapi yang menjadi bahan kemarahan tetap satu. Bagaimana? Wajar atau tidak kita melihat dari sudut luar politik sempit? Keduanya memainkan peranan dalam masyarakat dengan profesionalisme mereka. Cuma, keterlibatan dalam politik kepartian telah membuat netizen menilainya secara skeptikal.

Kita semua maklum, pertukaran nama jalan juga bukan tak pernah berlaku. Malah, ia sebahagian daripada proses ‘dekolonisasi’ yang berlaku di banyak negara selepas merdeka bagi menggantikan nama penjajah dengan nama tokoh tempatan sebagai usaha membina identiti nasional.

Di Kuala Lumpur pada awal 1980-an, datuk bandar waktu itu telah mengumumkan pertukaran serta-merta nama Jalan Parry kepada Jalan P Ramlee. Nama Jalan P Ramlee hari ini cukup sinonim sehingga kita hampir terlupa nama asal jalan itu. Pada 2014, kecoh juga apabila Jalan Duta ditukar kepada Jalan Tuanku Abdul Halim. Malah, menteri Wilayah Persekutuan ketika itu menyatakan antara sebab nama jalan ditukar ialah kerana nama tersebut tiada makna dari sudut perkataan tempatan. Mahameru tiada makna kata beliau, maka Lebuhraya Mahameru ditukar kepada Lebuhraya Sultan Iskandar. Bantahan ketika itu juga berlegar pada dua perkara: sentimen politik dan kos pertukaran termasuk alamat, papan tanda, dokumen rasmi dan sebagainya. Namun seperti biasa, lama-kelamaan ia senyap. Kita pun akhirnya terbiasa.

Saya secara peribadi, tidak ada masalah jika nama tempat dan nama jalan ditukar, apatah lagi jika nama-nama tersebut tidak menggambarkan identiti Malaysia. Di Kuala Lumpur, masih ada nama jalan yang berbaur penjajah yang kita tak kenal siapa. Jalan Conlay, Jalan Peel, Jalan Eaton, Jalan Stonor — ini semua tinggalan kolonial. Kalau ditukar kepada nama tokoh tempatan atau unsur budaya, saya tak nampak apa sebenarnya yang kita hilang. Kalau di Shah Alam unik, nama jalannya mengikut kategori. Selain nama kerabat diraja, ada nama buah-buahan, pokok, nama acara sukan seperti Jalan Lawan Pedang dan Jalan Rugbi. Juga ada nama peralatan ketukangan seperti Jalan Tukul atau Jalan Pahat dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya ada identiti.

Bukan apa, identiti kebangsaan sangat penting. Itu perkara asas untuk kita di Malaysia ini. Nak bantah, biarlah atas semangat kebangsaan dan sayangkan negara, bukannya politik kebencian. Nama tokoh sukan, tokoh akademik, sasterawan dan penggerak masyarakat wajar diberikan perhatian jika mahu menamakan jalan. Nama jalan Prof Khoo Kay Kim yang menggantikan Jalan Semangat di Petaling Jaya adalah lambang kebanggaan anak Malaysia setanding dengan Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz yang menggantikan Jalan Universiti, di Petaling Jaya juga.

Menukar nama bermaksud melakukan sebuah perubahan. Dan untuk melakukan perubahan, kita perlu berani. Kadangkala kita takut untuk berubah disebabkan andaian-andaian yang kita terlalu fikirkan, tapi akhirnya tidak ada masalah pun.

Teluk Anson misalnya telah lama ditukar kepada Teluk Intan — cukup cantik namanya. Pantai Cinta Berahi pula, dikatakan agak bernafsu bunyinya, lalu ditukar kepada Pantai Cahaya Bulan. Batang Berjuntai pula entah kenapa setiap kali disebut boleh mengundang senyum atau gelak kecil, akhirnya ditukar kepada Bestari Jaya. Tak ada masalah pun?

Tahun lepas, turut menimbulkan kontroversi apabila ada cadangan nama Port Dickson ditukar kepada Pantai Dermaga. Cadangan ini tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri mahupun persekutuan, khususnya di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana dikhuatiri mengelirukan pelancong dan memberi kesan kepada penjenamaan destinasi yang sudah lama dikenali.

Menteri besar Negeri Sembilan pula berkata, jika nak buat, harus juga tukar nama Port Klang dan George Town. Tetapi semua ini memakan kos yang tinggi, menurutnya lagi.

Sebenarnya, ada banyak nama jalan dan tempat yang sudah berubah sehingga menenggelamkan identiti asal. Perhatikan sekeliling kita. Takkan tak ada rasa apa-apa jika melihat Kerinchi jadi Bangsar South, Segambut ditenggelami oleh Mont Kiara, kemudian nama seperti Anfield atau Enstek, apahal ni? Sampai ke Semenyih dan Beranang pun ada nama Eco Majestic — ini pula macam mana? Tak ada isu besar pun. Tak pula hangat dipolitikkan. Tak ada DAP di sana, tak marahlah kita, ye tak? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.