Biasiswa Anak eKasih PTPTN membolehkan pelajar miskin dan miskin tegar di IPTA memulakan kerjaya tanpa terbeban hutang pendidikan.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Norliza Abdul Rahim, berkata jumlah itu direkodkan sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan pada 1 Jan hingga 30 Sept lalu.
“Menerusi BAeK PTPTN, impian pendidikan tinggi golongan memerlukan dapat direalisasikan melalui sokongan kewangan yang menyeluruh, sekali gus memberi dorongan kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan memulakan kerjaya tanpa hutang,” katanya.
BAeK PTPTN yang diumumkan ketika Belanjawan 2026 membolehkan pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.
Ia membabitkan pelajar yang mengikuti pengajian diploma atau ijazah sarjana muda secara sepenuh masa di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan diluluskan pinjaman PTPTN mulai 1 Jan lalu.
Dalam pada itu, Norliza menggesa pelajar yang menerima tawaran BAeK PTPTN tetapi belum mengembalikan dokumen tawaran supaya berbuat demikian dengan segera.
“Saya menyeru kepada semua pelajar yang telah menerima tawaran BAeK PTPTN tetapi masih belum mengembalikan dokumen tawaran supaya segera melengkapkan dan menyerahkan dokumen tersebut secara fizikal di mana-mana kaunter cawangan PTPTN yang terdekat dalam tempoh 60 hari dari tarikh surat tawaran.
“Langkah ini penting bagi memastikan urusan pembayaran biasiswa yang dilaksanakan pada setiap semester dapat berjalan dengan lancar, sekali gus membantu pelajar meneruskan pengajian dengan lebih teratur,” katanya.
PTPTN berkata BAeK diberikan berdasarkan permohonan pinjaman yang dibuat menerusi aplikasi web myPTPTN.
Pelajar akan diluluskan pinjaman PTPTN terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pengajian sebelum ditawarkan BAeK sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
Mereka yang layak akan dimaklumkan menerusi e-mel dan notifikasi dalam aplikasi myPTPTN. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.