Siasatan belum menemukan sebarang unsur salah laku jenayah melibatkan rasuah atau penyelewengan berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery.

Katanya, siasatan belum menemukan sebarang unsur salah laku jenayah melibatkan rasuah atau penyelewengan berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery seperti yang dilaporkan media pada 13 Ogos 2026.
KWAP juga bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan serta konsortium pelabur dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Pada masa yang sama, usaha melalui saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan pemulihan nilai pelaburan terus dilaksanakan,” menurutnya dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.
Kenyataan itu menjawab pertanyaan Kalam Salan (PN-Sabak Bernama) yang meminta kerajaan mengesahkan pelaburan KWAP kira-kira RM200 juta dalam eFishery yang terdedah kepada penipuan.
Selain itu, beliau meminta penjelasan mengenai pihak yang meluluskan pelaburan itu dan bertanggungjawab atas kegagalan usaha wajar, nilai kerugian sebenar dan sama ada KWAP akan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuai.
Menurut MoF, pelaburan dalam eFishery telah melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan termasuk pengesahan juruaudit antarabangsa bertauliah berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu.
Bagaimanapun, menurutnya, syarikat berkenaan kemudiannya didapati terlibat dalam manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat.
“Keadaan ini berlaku walaupun proses penilaian yang dilaksanakan telah merangkumi penilaian dalaman, usaha wajar bebas serta penelitian terhadap aspek kewangan, perundangan dan operasi sebelum cadangan pelaburan diluluskan.
“Malah, beberapa pelabur institusi global utama turut terjejas akibat salah laku berkenaan,” menurutnya.
Menurut kementerian, jumlah sebenar pelaburan KWAP dalam eFishery sebanyak RM163.4 juta dan mewakili kira-kira 2.51% pegangan saham dalam syarikat tersebut.
MoF memaklumkan KWAP merupakan pemegang saham minoriti dalam eFishery manakala sebahagian besar saham syarikat tersebut dipegang oleh pelabur lain termasuk pelabur institusi global utama. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.