PETALING JAYA: Replika berbentuk buku yang terletak di puncak menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilaporkan menunggu masa untuk roboh, kata jurutera syarikat yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR).
Memetik laporan Harian Metro, jurutera terbabit Muhammad Amirul Md Razdi berkata tiada kaedah baik pulih yang boleh dilakukan terhadap menara itu berdasarkan pemeriksaan yang dibuat pasukannya bulan lalu.
Katanya, mesyuarat bersama JKR turut dilakukan dan ia diisytihar darurat serta perlu dibuat tindakan segera atas faktor keselamatan.
“Tunggu masa nak roboh je, malah ketika buat inspection (pemeriksaan) hari tu dah berasa seram sejuk.
“Disebabkan replika ini ‘exposed’ di atas, bila-bila masa boleh jadi kemalangan kalau tidak dibuat segera,” katanya.
Sebelum ini Amirul memuat naik beberapa gambar struktur replika itu di Twitternya. Gambar itu kemudiannya menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial.
DBP dalam satu kenyataan berkata kerja perobohan replika itu dibuat atas faktor keselamatan selepas pakar mendapati struktur itu tidak selamat.
“Perobohan replika ini dibuat atas faktor keselamatan. DBP memberi perhatian yang serius terhadap keselamatan staf DBP, pengunjung dan orang awam,” menurut kenyataan itu.
Menara DBP dibina hampir 20 tahun lalu dengan replika seperti buku tengadah itu menjadi identiti DBP sebagai badan yang mengelolakan hal ehwal bahasa serta persuratan negara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.