`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 23, 2019

LTTE: KPN mohon keluarga bersabar, tindakan demi kepentingan negara

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memohon keluarga 12 individu ditahan berhubung isu kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dua minggu lalu bersabar kerana tindakan itu diambil demi kepentingan dan keselamatan negara.
Abdul Hamid berkata meskipun beliau bersimpati kerana sambutan Deepavali Ahad ini, pihak polis terpaksa mengambil tindakan menahan individu-individu terbabit demi keselamatan negara.
“Saya bersimpati perayaan Deepavali semakin hampir tapi tindakan pihak saya adalah untuk keperluan kepentingan dan keselamatan. Bagi keluarga yang masih tidak berpuas hati, mohon bersabar.
“Saya jamin keadaan mereka sentiasa dijaga dan kami akan beri segala hak yang dibenarkan dalam undang-undang pada keluarga untuk melawat… kami akan berikan kemudahan itu,” kata beliau, lapor Bernama.
Abdul Hamid berkata polis masih menjalankan siasatan terhadap 12 individu termasuk dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Pasukan penyiasat sedang mempercepatkan siasatan supaya kertas siasatan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya sama ada menolak kes itu atau mendakwa di mahkamah,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan keadaan tahanan adalah baik.
Sejak semalam, beberapa ahli keluarga tahanan berhimpun di hadapan Bukit Aman sebagai protes dan menggesa polis membebaskan tahanan bagi menyambut perayaan Deepavali.
Kesemua 12 individu berkenaan ditahan dalam operasi berasingan awal bulan ini, dikaitkan dengan percubaan menghidupkan semula LTTE, yang telah berkubur di Sri Lanka, di Malaysia.
Permohonan habeas corpus difailkan lima individu termasuk dua ahli Adun terbabit ditetapkan untuk sebutan esok.
Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu akan disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin pada 10 pagi.
Semasa sebutan kes, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan habeas corpus dan lain-lain arahan berkaitan kes itu.

Isnin lalu, G Saminathan, 34; P Gunasekaran, 60; S Chandru, 38; V Suresh Kumar dan seorang juruteknik, S Arivainathan, 56, memfailkan permohonan habeas corpus di kaunter pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini antara lain memohon supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.