Sekiranya kita memusing satu negara ketika minggu pertama kempen PRU15, kita akan mendapati betapa suam-suam kuku kempen yang sedang berlangsung. Calon kebanyakannya mengatur ceramah kelompok, bertemu pengundi secara bersasar di penjuru kawasan perumahan, dan berkeliaran di kawasan kedai atau pasar. Kelihatan PRU15 kali ini demikian membosankan. Pengamatan saya mendapati ceramah politik juga tidak begitu mendapat sambutan berbanding PRU14. Kibaran bendera parti dan calon bertanding juga tidak begitu meriah.
Akan tetapi itu tidaklah bermakna kempen PRU15 sama sekali tidak hangat.
Sebetulnya kempen sedang berlangsung dengan penuh gila di media sosial. P224 Twitterjaya dianggap kawasan Pakatan Harapan, sedang P223 Facebook rata-rata ditanggapi sebagai kawasan Barisan Nasional. Perlawanan sebenar kini di kerusi baharu P225, yang diperuntukkan untuk pengguna TikTok.
TikTok medan baharu yang aneh untuk seseorang di usia saya yang sudah mula menjangkau usia 50 tahun. P225 tempat pengundi pelbagai usia, lapisan kaum, jantina, kepercayaan, orientasi seksual, aneka usia, dan ideologi. Ia tidak ada persempadanan. Ia tidak boleh dihitung dengan mudah. Seberapa ramai PACA pun tidak dapat membaca kerusi TikTok ini. Ia kerusi yang menjadi idaman dan rebutan. Ia dipenuhi peraih dan perayu undi yang kadang-kala agak menjengkelkan.
Ia teritori di mana pengguna memuat naik video atau foto, kadang-kala sependek beberapa saat sehinggalah ke beberapa minit yang melekakan. Ia kawasan di mana anak-anak menari penuh bergaya. Golongan T20 menunjukkan kemewahan tanpa segan silu. Ia daerah B40 berhibur dan bersenda gurau. Tempat peniaga menghampar karpet dagang sambil meneriak-neriak memanggil pembeli secara langsung.
Di sini Fahmi Reza berkuasa dengan Kelas Demokrasinya. Betapa bodohnya sesetengah pihak yang menghalang kelas terbuka ini kerana di medan TikTok ia sama sekali tidak boleh disekat. Jika merayu undi secara berjalan-jalan itu memerlukan permit, di TikTok tiada siapa dapat menghalang pengundi berbuat apa sahaja. Kuliah Fahmi secara berkesan memberi pendidikan politik yang luar biasa, yang sebetulnya patut dilakukan oleh universiti atau Suruhanjaya Pilihan Raya.
Fahmi tidak cenderung ke mana-mana parti. Dia membalun siapa sahaja yang dia rasa cuai. Beliau ikon di situ. Kini di ruang komen beliau, siapa sahaja nampaknya memburu perhatian si punk yang menjadi kegerunan pihak “establishment” ini.
Kempen di P225 TikTok dipenuhi fitnah berkesiuran. Sebagai contoh seorang aktivis Perikatan Nasional dikatakan telah memutar belit fakta mengenai Tabung Haji sehingga ditegur sendiri oleh bekas CEO Tabung Haji. Oleh kerana kepanasan dan keaiban, aktivis muda itu terpaksa memadam hantaran tersebut. Fitnah DAP parti komunis merebak dalam TikTok. Apabila pengikut Pakatan Harapan merespon dengan hujah yang kuat, seperti ‘jika DAP itu komunis mengapa tidak pernah diharamkan’; ia menyebabkan jawab-menjawab bertali arus.
Video yang dimuat naik sering berbentuk propaganda tertentu. Isu dilemparkan akan dijawab dengan video lain. Kadang terdapat ralat atau hujah silang yang tidak mendapat sambutan menjadikan ia tergantung. Naratif calon tertentu yang dihujah bermasalah – dari segi kelayakan atau pencapaian akademik – terus dipertikaikan dan menimbulkan tanda tanya tanpa jawapan.
Parti-parti bertanding memperagakan tawaran atau manifesto di TikTok dengan harapan video pendek mereka dengan muzik menarik akan menawan hati pengundi. Calon-calon PRU sering mengadakan lintas langsung dari kawasan kempen, membolehkan pengundi P225 mengikuti dari jauh. Saya menonton ucapan Anwar Ibrahim di Masjid Tanah dari kafe di Kinokuniya. Pengundi TikTok boleh sahaja berada di dalam jaringan tren LRT yang mengalami masalah teknikal, sedang berehat di pangkin dalam kebun sawit, atau di sisi pukat di pantai Tanjung Karang, malah di pulau terpencil di Semporna.
Calon-calon PM diperagakan dan kadang dipalit dengan macam-macam skandal dan gosip. Anak calon PM Barisan Nasional turut berkempen di TikTok.
Kempen di P225 juga dicemari politik wang. Kini ada dakwaan terdapat parti Melayu-Islam tertentu membayar pengguna TikTok dengan jumlah pengikut yang tinggi demi mengisi kandungan kempen politik dan tanda pagar yang memihak mereka. Artis tertentu yang sebelumnya hanya berminat untuk berniaga dan menjual produk, kini beralih mengikut tren dan mulai memainkan peranan masing-masing. Kebanyakannya terang-terang memilih isyarat untuk mengundi parti yang lebih konservatif, membayangkan “fiil” sebenar mereka iaitu sebetulnya Kapitalis-Retis-Islamis.
Dalam erti kata lain, ketika kempen masuk ke minggu kedua; kempen sebenar bukan lagi di luar. Ceramah politik dianggap lapuk dan hanya dihadiri oleh mereka seusia saya. Malah ceramah politik itu sendiri boleh diikuti dari jauh, di TikTok. Parti bertanding tidak memerlukan bendera terpacak di tebing jalan. Bendera sebenar di media sosial.
Mengapakah kerusi TikTok ini menjadi rebutan?
TikTok platform media sosial yang paling banyak digunakan generasi muda. Sasaran jenama ini khusus untuk mereka yang berumur seawal 13 tahun (bayangkan PRU16!). Menurut DataTrek Research, TikTok di peringkat global menyaksikan lonjakan terbesar mengatasi rangkaian sosial popular lain seperti Facebook, Snapchat, dan Twitter.
Lebih separuh daripada pengguna TikTok ialah Gen Z, berbanding hanya 39% golongan Millennial. Pertumbuhan dalam kalangan Gen Z juga amat laju. Dalam erti kata lain, TikTok tempat tumpuan pengundi paling direbutkan iaitu antara 18-25 tahun. Lebih tepat mereka pengundi kali pertama dalam PRU15 ini. Bukan itu sahaja, ia platform yang banyak digunakan oleh kaum wanita.
Satu kejutan yang kurang diketahui adalah awal tahun ini sahaja terdapat hampir 7 juta pengguna TikTok di Malaysia, menjadikan ia kerusi paling ramai pengundi. Kejutan yang lebih mendebarkan ialah rata-rata pengundi muda ini memberitahu mereka beroleh maklumat politik daripada TikTok. Tidak ada cara menyukat kecenderungan politik mereka. Semua pengkaji politik sedang kebingungan.
Sehingga tulisan ini ditulis, tanda pagar ‘PNbest’ milik Perikatan Nasional adalah di angka 53.4 juta tontonan. Manakala tanda pagar ‘kitaboleh’ oleh Pakatan Harapan (PH) beroleh 94.5 juta tontonan. Barisan Nasional dengan tanda pagar ‘kestabilan dan kemakmuran’ hanya beroleh tempat ketiga iaitu dengan angka 30.5 juta tontonan menunjukkan ia hanya menjadi minat kaum berusia.
Adakah ini petunjuk yang PH sedang mendahului kerusi untuk membentuk sebuah kerajaan? Siapakah yang akan menguasai kerusi P225 TikTok ini setelah menjelang 19 November? Siapakah menguasai P225 ini selepas P224 Twitterjaya dikuasai Pakatan Harapan, manakala P223 Facebook milik Barisan Nasional?
Lebih penting apakah perhatian di TikTok dapat diterjemahkan dalam bentuk undi? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.