`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Tuesday, August 18, 2026

DAP kekal kerajaan demi pengaruh, ‘kos keluar’ lebih tinggi

 Penganalisis berkata DAP pilih kekal dalam kerajaan perpaduan kerana pengaruh dan akses kepada dasar kerajaan lebih menguntungkan berbanding risiko keluar menjelang PRU16.

PC DAP
Ahad lalu DAP meluluskan usul kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat tempoh pentadbiran sekali gus menepis spekulasi mengenai hala tuju politik parti itu.
PETALING JAYA:
Keputusan DAP kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal dilihat sebagai langkah strategik bagi mempertahankan pengaruh parti di Putrajaya menjelang PRU16, kata penganalisis.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, kedudukan dalam kerajaan memberi DAP akses kepada kuasa dan ruang mempengaruhi dasar, namun pada masa sama parti itu terpaksa berkongsi beban jika kerajaan berdepan kelemahan atau kegagalan.

Katanya, keluar daripada kerajaan mungkin membolehkan DAP kembali membawa imej sebagai parti yang lebih bebas dan tegas mempertahankan prinsip, tetapi risikonya lebih besar ketika PRU16 semakin hampir.

“Kalau tidak duduk di meja membuat keputusan, ia akan menyukarkan mereka. Namun, ia juga menunjukkan DAP tidak mahu mengambil risiko keluar daripada kerajaan ketika PRU16 semakin hampir.

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian.

“Setiap masalah kerajaan boleh menjadi ‘getah yang melekat pada kasut’ DAP menjelang PRU16,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, DAP meluluskan usul untuk kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat tempoh pentadbiran, sekali gus menepis spekulasi mengenai hala tuju politik parti itu.

Keputusan itu dicapai menerusi pengundian pada kongres parti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), selepas usul khas dibentangkan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.

Sivamurugan berkata, keputusan itu tidak semestinya bermakna DAP mengetepikan prinsip, sebaliknya menunjukkan parti tersebut cuba menyesuaikan prinsip dengan realiti politik.

“Prinsip tanpa kuasa sukar diterjemahkan menjadi dasar, tetapi kuasa tanpa prinsip pula boleh menghakis identiti parti,” katanya.

Beliau berkata, persoalannya sejauh mana DAP mampu meyakinkan akar umbi bahawa penyertaannya dalam kerajaan masih selari dengan mandat dan harapan mereka.

Katanya, keputusan perwakilan DAP juga belum tentu mencerminkan sentimen keseluruhan pengundi, khususnya selepas prestasi parti dalam PRN serta tanda-tanda sebahagian pengundi bukan Melayu semakin kritikal terhadap DAP.

“Yang akan menentukan untung rugi keputusan ini bukan kongres DAP semata-mata, tetapi pengundi di peti undi PRU16,” katanya.

Mujibu Muis.
Mujibu Abd Muis.

Sementara itu, Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara menyifatkan keputusan DAP sebagai langkah pragmatik bagi memastikan parti terus menjadi sebahagian daripada penentu dasar kerajaan.

Katanya, kos politik untuk meninggalkan kerajaan ketika ini lebih tinggi berbanding manfaat yang mungkin diperoleh.

“Secara keseluruhan, DAP memilih untuk kekal dalam kerajaan kerana keuntungan strategik dari dalam lebih besar berbanding risiko keluar,” katanya.

Bagaimanapun, Mujibu berkata kelangsungan kerajaan perpaduan bergantung kepada keupayaan parti komponennya mengurus persaingan politik, terutama di peringkat negeri.

Katanya, PRN Melaka dan persiapan menghadapi PRU16 akan menjadi ujian penting terhadap kerjasama antara parti kerajaan sehingga tamat penggal.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya pula berpandangan, keputusan DAP dapat menghapuskan ketidaktentuan politik dalam gabungan kerajaan ketika ini sekali gus memastikan kestabilan negara kekal sehingga tamat penggal Parlimen. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.