Timbalan Pengerusi Majlis Waqaf Islam di Baitulmuqaddis Mustafa Abu Sway berkata pasukan keselamatan Israel menghalang dan merampas hak orang ramai berada di masjid itu saban hari.

Timbalan Pengerusi Majlis Waqaf Islam di Baitulmuqaddis, Mustafa Abu Sway, berkata pasukan keselamatan Israel dilihat menghalang orang ramai saban hari, termasuk golongan muda, wanita dan kadangkala warga emas, sekali gus merampas hak mereka untuk berada di masjid itu.
“Jadi tiada kebebasan bergerak, tiada kebebasan beribadat, secara hakikatnya, di Masjid Al-Aqsa,” katanya dalam wawancara video secara langsung dari Masjid Al-Aqsa dan Kubah As-Sakhrah menerusi program Bernama World terbitan Bernama TV, baru-baru ini.
Beliau mengupas topik “Palestine Beyond The Headlines: Protecting The Sanctity And Future Of Al-Aqsa Mosque.”
Abu Sway dilantik pemegang Kerusi Integral pertama bagi Pengajian Karya Imam Ghazali di Masjid Al-Aqsa dan Universiti Al-Quds pada 2012.
Selain Majlis Waqaf Islam di Baitulmuqaddis, beliau juga ahli Dana Bani Hashim bagi Pemuliharaan Masjid Al-Aqsa dan Kubah As-Sakhrah.
Beliau berkata, status quo sejarah yang ditetapkan menerusi dekri Uthmaniyyah pada abad ke-19 membenarkan umat Islam beribadat di Al-Aqsa, manakala penganut agama lain boleh melawat di bawah pentadbiran Wakaf Islam, yang juga sebahagian daripada Kementerian Wakaf Jordan.
Jelasnya, aturan itu semakin dicabar sejak 2000, apabila pemimpin pembangkang Israel ketika itu, Ariel Sharon, melakukan kunjungan provokatif ke Al-Aqsa diiringi pasukan keselamatan. Abu Sway berkata, kunjungan itu mencetuskan intifada (kebangkitan) kedua oleh rakyat Palestin.
“Secara perlahan-lahan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, di bawah kepimpinan Ben-Gvir, menteri keselamatan nasional Israel, beliau mengubah keadaan dengan membenarkan peneroka beribadat.
“Malah, bahagian tertentu di masjid itu tidak dibenarkan untuk dimasuki umat Islam semasa pencerobohan mereka.”
Abu Sway berkata, perkembangan itu menimbulkan “cabaran dan risiko besar” kepada status quo sejarah masjid berkenaan.
“Setiap kali mereka (pemimpin politik) mahu meningkatkan sokongan di peti undi, mereka sama ada melakukan atau menyatakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab mengenai Masjid Al-Aqsa, dan inilah punca peningkatan elemen pelampau yang menceroboh Masjid Al-Aqsa.
“Tiada pengiktirafan terhadap Masjid Al-Aqsa dalam naratif mereka. Jadi, apabila mereka mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Tinggi Israel, tiada sebarang sebutan mengenai Masjid Al-Aqsa langsung. Mereka hanya bercakap mengenai ‘Temple Mount’. Jadi, ini adalah isu sangat serius dan boleh mencetuskan konflik melangkaui rantau ini.”
Tegasnya, Al-Aqsa sebahagian daripada akidah dan identiti umat Islam di seluruh dunia, termasuk Asia Tenggara. Ia berkait rapat dengan peristiwa Isra’ Nabi Muhammad dari Makkah ke Baitulmuqaddis. Di Baitulmuqaddis, baginda mengimami nabi lain dalam solat di masjid berkenaan.
“Keseluruhan Kompleks Al-Aqsa sebahagian daripada Masjid Al-Aqsa, bukannya satu bangunan khusus. Negara dan negeri Muslim mempunyai peranan serta tanggungjawab menyokong Jordan pada forum antarabangsa berkaitan, dan kami fikir Malaysia sebuah negara penting yang boleh memainkan peranan penting dalam pemeliharaan Al-Aqsa.”
Mengenai peranan Jordan sebagai penjaga tapak suci Muslim dan Kristian di Baitulmuqaddis, beliau berkata, apa yang diperlukan ialah pengiktirafan meluas antarabangsa atas peranan Jordan itu.
“Kita perlu seluruh dunia Arab dan Muslim, malah masyarakat antarabangsa mengiktiraf penjagaan tapak suci itu yang dilakukan Jordan, dan kami ingin melihat peranan lebih aktif yang dimainkan negara Arab dan Muslim serta negara sahabat untuk keamanan dan kestabilan.”
Beliau turut menyeru menteri luar dan pemimpin utama bercakap mengenai Masjid Al-Aqsa bagi menghentikan pencerobohan itu dan menyelaras dengan Jordan untuk langkah seterusnya.
Tegasnya, usaha mengakhiri pendudukan dan kembali kepada penyelesaian dua negara memerlukan pelan tindakan utama yang serius kerana tiada keamanan boleh dicapai tanpa pengiktirafan terhadap hak keagamaan, sejarah dan politik rakyat Palestin. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.