PETALING JAYA: Pendakwah bebas terkenal, Ebit Lew berkongsi luahan rasa sambil mengalirkan air mata susulan kontroversi menimpanya dengan penyanyi rap Caprice yang mencuri perhatian ramai beberapa hari lalu.
“Saya susah nak benci orang, saya susah nak lawan orang.
“Tapi, sejak kebelakangan ini, orang tak berhenti datang. Semua orang nak cari gaduh dengan saya. Semua orang nak cakap bukan-bukan terhadap saya. Saya jadi sedih,” katanya dalam klip video dalam aplikasi TikTok yang kemudian dikongsi semula di laman youtube dan imuat naik semula dalam Instagram, @jentikhati.tv
Ebit berkata, beliau sebelum ini tidak mahu mengendahkan prasangka buruk orang terhadapnya mengenai usaha yang beliau lakukan.
Katanya, beliau juga tidak akan membalas setiap mesej negatif dilemparkan terhadapnya
“Saya susah nak mengata siapa-siapa. Saya susah nak bergaduh dengan siapa-siapa.
“Saya memang tak takut siapa-siapa sejak kecil. Saya tahu hidup saya Allah yang tentukan, mati saya juga Allah yang tentukan,” katanya.
Namun katanya, kejian terhadap apa yang dilakukannya ketika ini dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
“Walau kita cuba bawa kasih sayang dalam dunia tapi masih ada orang yang benci kita.
“Dulu saya jahat, bila kita cuba buat baik tapi ujian itu tidak henti-henti,” katanya.
Bagaimanapun katanya, beliau percaya dunia kan kembali seperti zaman Rasulullah, di mana semua orang saling mengasihi saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain.
Caprice mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit kerana mendakwa menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan baru-baru ini.
Dia juga mendakwa Ebit hanya menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza demi tarikan bahan kandungan di media sosial.
Pendedahan Caprice itu dilihat menimbulkan rasa kurang senang netizen terutamanya dalam kalangan penyokong Ebit yang memberikan pelbagai reaksi terhadap artis terbabit. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.