`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 16, 2024

Oh Malaysiaku

 

Mohsin Abdullah

Saya mulakan penulisan hari ini 16 Sept dengan menyampaikan salam Maulidur Rasul buat umat Islam. Hari ini hari kelahiran Nabi Muhammad.

Hari ini juga Hari Malaysia. Semasa Malaysia dibentuk pada 16 Sept 1963 saya berusia 8 tahun. Untuk meraikan penubuhan Malaysia dan menyemarakkan semangat rakyat, lagu ‘Malaysia Berjaya’ ciptaan Saiful Bahri dan dinyanyikan oleh Jamaluddin Alias disiar beberapa kali setiap hari di Radio Malaysia. Kemudian disiarkan melalui TV apabila penyiaran televisyen Malaysia diperkenalkan pada 28 Disember tahun yang sama.

Sehingga sekarang saya masih ingat lirik lagu itu. Antaranya: 

Dari Perlis sampailah ke Sabah kita sudah merdeka
. Benar. Waktu itu dari Perlis sampai ke Singapura hingga ke Sabah dan Sarawak. Tak perlulah saya ulangi apa yang semua sudah tahu apa yang terjadi dengan Singapura pada Ogos 1965.

Cuma ingin saya nyatakan sehingga kini rakyat Malaysia di Semenanjung menganggap 31 Ogos sebagai hari Malaysia merdeka. Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak pula tidak berasa begitu. Bagi mereka yang merdeka 31 Ogos 1957 ialah Malaya. Bahkan Malaysia belum wujud ketika itu. Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu sudah tidak wujud. Yang ada ialah Semenanjung Malaysia.

Ada benarnya pendapat saudara kita di Sabah dan Sarawak. Memang ada penjelasan dan sebagainya. Namun hakikatnya ramai orang Malaysia di Semenanjung ucap Selamat Merdeka Malaysia pada 31 Ogos dan orang Malaysia di Sabah dan Sarawak tidak berkata demikian. Sehinggalah sekarang. Saya setuju yang mesti disambut dan diraikan secara besar-besaran ialah Hari Malaysia, hari untuk semua rakyat.

Realitinya rakyat di Sabah dan Sarawak masih menganggap mereka dianaktirikan, dibuli oleh kerajaan persekutuan (baca: Orang Semenanjung yang mereka gelar Orang Malaya). Mereka melihat kerajaan persekutuan sama ada yang dahulu atau yang sekarang tidak berlaku adil kepada mereka, khususnya pada segi pembahagian peruntukan pembangunan.

Mereka tidak suka apabila orang Semenanjung berkata Sabah dan Sarawak ‘masuk’ Malaysia. Ini kata mereka ialah kerana Sabah dan Sarawak bersama Malaya dan Singapura bergabung untuk menubuhkan Malaysia. Ini benar. Bergabung dan masuk ada bezanya. Lantas Sabah dan Sarawak tidak suka mereka dianggap ‘negeri’ dalam Malaysia yakni sama seperti 11 negeri di Semenanjung. Sabah dan Sarawak ialah tanah wilayah atau jajahan Inggeris yang diberi hak memerintah diri sendiri semasa mereka menubuhkan Malaysia bersama Malaya dan Singapura.

Kesimpulannya bagi Sabah dan Sarawak, sejak penubuhan Malaysia pada 1963, semua kerajaan persekutuan sejak itu tidak menunaikan apa yang dipersetujui menerusi Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63. Tidak dinafikan apa yang mereka kata ada benarnya. Sedikit sebanyak.

Namun bukan semuanya boleh dipersalahkan ke atas kerajaan persekutuan secara total, umpamanya status Sabah dan Sarawak. Pindaan Perlembagaan 1976 yang menurunkan taraf Sabah dan Sarawak daripada ‘wilayah’ kepada ‘negeri’ disokong oleh Ahli Parlimen kerajaan dari Sabah dan Sarawak sendiri.

Penganalisis politik, Oh Ei Sun, anak kelahiran Sabah pernah beritahu saya pada 2019, “Someone sold us out in 1976 and we are not happy with that“. Beliau tidak menghuraikan siapa yang dimaksudkan. Oh mengimbau apa yang berlaku pada 1976 ketika mengulas apa yang berlaku pada 2019. Pada 2019 kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad cuba meminda Perlembagaan yang kata mereka untuk kebaikan Sabah dan Sarawak, tetapi ia tidak dapat sokongan majoriti di Parlimen. Ahli Parlimen Borneo turut tidak menyokong walaupun pindaan dilihat mengangkat kembali MA63.

Yang tidak menyokong melihat pindaan itu hanya ‘cosmetic‘. Oh tidak berpandangan begitu walaupun mahu pindaan menggunakan perkataan asal MA63.

Apa pun pada 2021 kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob membentang pindaan perlembagaan untuk juga menaikkan status Sabah dan Sarawak. Kali ini semua Ahli Parlimen termasuk Pakatan Harapan yang waktu itu sudah menjadi pembangkang menyokong. Kerana itu Sabah dan Sarawak ialah wilayah dalam Malaysia.

Tetapi masih ada yang tidak puas hati. Bagaimanapun menurut Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof (orang Sarawak) kerajaan yang ada sekarang menunaikan MA63 melebihi apa yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Romzi Ationg, dipetik Berita Harian berkata setakat ini 

nampaknya kerajaan Madani bersungguh-sungguh untuk memartabatkan hal ini (MA63)
.

Beberapa hari lalu perdana menteri mengumumkan jumlah pembayaran khas interim sebanyak RM600 juta melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia. Selain itu 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 diselesaikan setakat ini dengan tujuh daripadanya dicapai dalam tempoh dua tahun kepimpinan PMX.

Namun empat perkara berkaitan belum diputuskan iaitu berhubung sempadan laut, royalti minyak, duti setem, dan tuntutan 1/3 kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.

Kata penulis The Star, Philip Golingai, juga orang Sabah, rakyat Sabah menjangkakan pembayaran lebih besar daripada kerajaan persekutuan. Bilion bukan hanya milion. Lalu bagi mereka RM600 juta daripada kerajaan persekutuan adalah ‘gula-gula’ sahaja.

Mungkin ketika artikel ini anda baca, Anwar Ibrahim sudah buat pengumuman yang menggembirakan Sabah dan Sarawak. Tetapi hakikatnya masih ramai yang menuntut dan masih banyak yang dituntut. Kebanyakannya membabitkan wang.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin, dalam hantaran ke Facebook baru-baru ini mengetengahkan laporan media bahawa kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada Petronas untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan Petroleum Sarawak Berhad atau Petros. Ada pihak berpendapat elok isu itu dibawa ke mahkamah.

Perbincangan sedang berlangsung. Namun tidak perlu jadi pakar ekonomi untuk tahu mudaratnya kepada negara jika masalah ini berterusan. Umum tahu Sarawak bercakap mengenai ‘haknya’.

Untuk pendekkan cerita saya petik catatan Kadir. 

kita adalah negara persekutuan atau federation iaitu gabungan negeri-negeri yang sedikit sebanyak ada hak atau autonomi masing-masing. Kita bukan kesatuan yang negeri-negeri anggota berkuasa mutlak
. Memang benar.

Kata beliau lagi 

adalah amat bijaksana dan berfaedah kalau pemimpin yang ada hari ini, di pusat dan negeri-negeri khususnya Sarawak dan Sabah boleh bersikap sederhana dan waras dalam membuat tuntutan dan bertolak-ansur
. Sekali lagi benar.

Barulah lagu Malaysia Berjaya benar-benar bermakna. Kepada rakyat negara ini sama ada di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak diucapkan Selamat Hari Malaysia. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.