`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 8, 2024

Mangsa banjir di Kedah, Perlis meningkat

 

Free Malaysia Today
Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 1,157 orang dengan Kota Setar dan Baling antara daerah terbaru dilanda banjir. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR
Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis merekodkan peningkatan petang ini berbanding pagi tadi manakala di Johor, Perak, Selangor, Melaka dan Pahang berkurangan.

Di Kedah, mangsa meningkat kepada 1,157 orang daripada 347 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 439 orang daripada 122 keluarga pagi tadi dengan Kota Setar dan Baling antara daerah terbaru dilanda banjir.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata di Kota Setar seramai 553 mangsa daripada 166 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu SMK Alor Merah, SK Taman Aman, SK Titi Gajah dan SK Haji Idris.

Sementara itu di Baling, jumlah mangsa yang terlibat masih dalam bancian dan semua mereka ditempatkan di lima PPS iaitu SMK Parit Panjang, SK Penghulu Abu Bakar, Seri Bayu, Dewan Kampung Haji Abas dan Sekolah Maktab Mahmud,
 katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata di Kubang Pasu, seramai 367 mangsa daripada 123 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu SMK Changlun, Dewan PPK Lubuk Batu, SK Malau, SMK Indera Putra dan SMK Mahawangsa, manakala di Pendang, 237 mangsa daripada 58 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.

Di Perlis, Pengarah APM Perlis, Mohd Izaimi Md Daud berkata tujuh orang daripada tiga keluarga yang terjejas banjir di Kangar ditempatkan di PPS SK Sena manakala seramai 112 orang daripada 35 keluarga di Arau ditempatkan di SK Kubang Gajah, setakat 4 petang ini.

Antara kawasan terjejas dengan banjir itu ialah Kampung Bakau dan Kampung Tok Kandang di Kangar manakala Kampung Titi Besi bagi kawasan Arau,
 katanya dalam kenyataan.

Di Johor, dua PPS ditutup iaitu Dewan Terbuka Kampung Paya Palembang dan Balai Raya Parit Haji Hashim di Kluang, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 502 orang setakat 4 petang ini, berbanding 601 orang 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani berkata 502 mangsa daripada 134 keluarga di tiga daerah terjejas banjir iaitu Kluang, Batu Pahat dan Pontian masih berada di enam PPS.

Dua PPS yang beroperasi di Kluang ialah Dewan Kampung Kolam Air dan SK Sungai Linau, di Pontian pula di SK Seri Anom, SK Parit Markom dan Kompleks Muafakat Kampung Sungai Pinggan, manakala di Batu Pahat hanya satu PPS iaitu SK Seri Bunut,
 katanya dalam kenyataan.

Di Perak pula, sekretariat JPBN memaklumkan mangsa banjir petang ini berkurangan kepada 215 orang daripada 60 keluarga manakala satu PPS ditutup iaitu di SK Matang, Matang di Taiping, 2 petang tadi.

Di Selangor, situasi banjir kian pulih apabila jumlah mangsa yang masih berlindung di PPS petang ini berkurangan daripada 173 mangsa daripada 36 keluarga kepada 152 orang membabitkan 30 keluarga.

Di Melaka, menurut sekretariat JPBN jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 22 orang daripada enam keluarga pada 4 petang ini dan kesemuanya ditempatkan di PPS SK Tehel, Jasin.

Sekretariat itu memaklumkan semua mereka merupakan penduduk dari Kampung Parit Lampong serta Kampung Tanjong Laboh selain cuaca di Melaka dilaporkan cerah petang ini dan tiada jalan utama ditutup.

Di Pahang pula, seramai 31 individu daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Sungai Ruil, Cameron Highlands selepas berlaku tanah runtuh dan banjir kilat semalam.

Sekretariat JPBN Cameron Highlands memaklumkan insiden itu berlaku pada 6 petang sebelum semua mangsa dipindahkan ke PPS sekitar 8.30 malam dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.