`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 21, 2024

Syed Saddiq tunjuk ajar PN

 

hishamuddin-aun

Dibandingkan dengan anggota bukan penyokong kerajaan antaranya Hamzah Zainudin, Takiyuddin Hassan dan Shahidan Kassim, ternyata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lebih kental dari segi perancangan dan gerak kerja.

Sanggup berlari 200km selain mengetepikan ego diri, Ahli Parlimen Muar itu menyerlahkan kualiti lebih mendahulukan rakyat di kawasannya.

Perikatan Nasional (PN) selaku pembangkang di Dewan Rakyat bagaimanapun tidak boleh mendakwa beliau sebahagian daripada mereka.

Selepas mengumumkan menarik balik sokongannya kepada kerajaan perpaduan pada 10 Sept tahun lalu, Syed Saddiq tidak menyertai PN melainkan jadi pembangkang kuasa ketiga sebagai wakil rakyat bebas.

Ia bukannya tanpa implikasi apabila bekas presiden Muda itu mendakwa peruntukan yang sepatutnya diterima bagi kegunaan kawasannya ditarik balik seperti disahkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri selepas tidak lagi menyokong kerajaan.

Ini disusuli tindakannya memfailkan permohonan kebenaran untuk mendapatkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 April lalu berhubung tindakan pemberhentian peruntukan RM4 juta untuk Parlimen Muar tahun ini. Mahkamah menetapkan 18 Nov ini untuk keputusan permohonan berkenaan.

Mudah berputus asa juga bukan perwatakan Syed Saddiq – seperti dibuktikannya dalam larian ‘Langkah Muar’ sejauh 200km pada akhir Jun lalu. Tidak melakukan apa-apa juga bukan pilihan buatnya.

Berbanding wakil pembangkang yang hanya banyak beretorik, tiga kali rundingan diadakan Syed Saddiq dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof untuk mendapatkan peruntukan bagi kawasannya.

Berlawan dengan kepenatan, sakit-sakit badan dan kekejangan otot, Syed Saddiq berjaya meraih sumbangan RM160,000 daripada lebih 2,000 penyumbang selepas tiga hari berlari dari Muar hingga ke bangunan Parlimen yang tamat 1 Julai lalu bagi tujuan mengutip dana RM100,000 untuk Pusat Khidmat Muar menggerakkan operasi membantu rakyat.

Kecuali hanya menyambut Syed Saddiq di penghujung lariannya di bangunan Parlimen, wakil pembangkang tidak pun melakukan lebih daripada itu.

Sebaliknya, PN sebulat suara menolak dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Hamzah selaku ketua pembangkang pada 15 Sept lalu mendakwa cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin malah mengandaikan ‘identiti yang lain’ seperti syarat ke-10 dalam MoU itu membawa elemen bertentangan nilai moral serta agama yang dirujukkannya kepada lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ini menyusuli kenyataan Takiyuddin selaku ketua whip PN dua minggu sebelum itu yang mendakwa terdapat tujuh syarat dikenakan kerajaan perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan sebagaimana dituntut.

Syarat berkenaan meliputi pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15, serta perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R), yang didakwa Takiyuddin ada antaranya pelik serta tiada kena-mengena dengan peruntukan yang dituntut.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 9 Julai lalu dipetik berkata isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan kerana ia membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

Namun, Muhyiddin pada 20 Sept lalu menutup sebarang rundingan lanjut apabila menyatakan pihaknya tidak akan mengemukakan sebarang cadangan baharu berkaitan draf MoU itu, sebaliknya bertegas bahawa mereka tetap dengan keputusan menolaknya kerana kononnya bertentangan dengan perlembagaan dan sifat murni rakyat Malaysia.

Lalu bukan menghairankan apabila Dr Zaliha Mustafa pada 15 Okt mendedahkan bahawa hanya Syed Saddiq memberi maklum balas rasmi berhubung draf MoU itu sambil turut memohon beberapa pengubahsuaian.

Ini memungkinkan hanya beliau akan menerima peruntukan.

Hairannya Shahidan – antara yang turut bersetuju sebulat suara menolak draf MoU itu pada awalnya – mengusulkan dalam sesi Kamar Khas Dewan Rakyat 15 Okt lalu supaya kerajaan mengkaji semula draf berkenaan. Tidakkah wakil Arau itu mengingkari pendirian Muhyiddin?

Begitupun, seperti kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu, tiadanya sebarang maklum balas rasmi diterima daripada wakil pembangkang lain adalah petunjuk rundingan lanjut sudah terhenti sambil kerajaan juga tiada sebab untuk meneruskannya.

Apa kata Syed Saddiq? Sikap berbeza dengan PN dalam isu peruntukan wakil rakyat pembangkang diambilnya demi menjaga kebajikan masyarakat di kawasannya.

Ia boleh saja ditafsirkan sebagai sindiran kepada PN di bawah pentadbiran Muhyiddin yang dilihat angkuh kerana enggan berunding selain mendahulukan diri mereka sendiri berbanding pengundi yang mereka wakili.

Selagi baik dan memastikan kebajikan rakyat di Parlimen terbela dan terjaga… perkara ini saya konsisten perjuangkan. Tak adil kalau suarakan sama ketika pentadbiran Muhyiddin dan Ismail (Sabri Yaakob) tetapi bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim saya ambil pendirian berbeza,
 katanya kepada FMT pada Sabtu.

Malah, beberapa syarat dalam MoU kerajaan turut dipersetujuinya termasuk berkaitan pengisytiharan harta yang dapat membantunya kekal memainkan peranan semak dan imbang – antara perkara yang dibantah pembangkang.

Dalam memutuskan demikian, Syed Saddiq menyerlahkan dirinya sebagai wakil rakyat berjiwa besar berbanding ahli Parlimen PN yang hanya bercakap mengutamakan kepentingan rakyat yang mereka wakili tetapi tindakan mereka tidak pun demikian.

Barangkali mereka mengharapkan Anwar ada menyelitkan peruntukan buat pembangkang ketika membentangkan Belanjawan 2025 Jumaat lalu. Jika benar, ternyata mereka hanya berangan-angan.

Apa saya peduli projek kepada Ahli Parlimen. Saya peduli projek kepada rakyat.
 Kata-kata Anwar itu dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil, 9 Julai lalu, harus terus terngiang-ngiang. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.