
Aktivis antiscam Rahmat Fitri Abdullah berkata, ketika ini ada yang membuat hantaran ‘tidur di atas wang’ dan menunjukkan wang banyak ketika siaran langsung di TikTok.
Katanya, keadaan itu menimbulkan keraguan terhadap perniagaan yang dijalankan.
“Berdasarkan pemerhatian di media sosial, saya percaya ada peluang untuk siasatan dibuat terhadap mereka yang bertindak menayangkan duit banyak dan kekayaan tidak masuk akal.
“Tindakan tersebut sangat mencurigakan. Pada saya apa sahaja keraguan yang timbul, LHDN perlu masuk siasat dan dari situ kita boleh tahu sama ada perniagaan mereka ini sah atau sebaliknya,” katanya kepada FMT.
Rahmat diminta mengulas pendedahan polis Kelantan bahawa ramai pengasas produk dan pempengaruh di negeri itu dikesan terbabit kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Pada 21 Mac lalu, Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, dipetik sebagai berkata dapatan itu berdasarkan beberapa tangkapan dilakukan sebelum ini.
Katanya, kebanyakan mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.
Pakar kriminologi bebas Shahul Hamid Abd Rahim pula menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat pendaftaran syarikat untuk mengesan sama ada operasi dan kegiataannya tidak melangar undang-undang.
Katanya, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diperlukan bagi memastikan perolehan hasil perniagaan adalah daripada sumber sah.
“Pempengaruh perlu tunjukkan bukti sumber hasil pendapatan mereka dari mana. Kemungkinan ada perniagaan yang sah, tetapi apa pun ia perlu dibuktikan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.