`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, January 24, 2026

PCOS bukan sekadar isu kesuburan, risiko ‘pembunuh senyap’ wanita

Ramai mungkin tidak sedar Sindrom Ovari Polisistik boleh membawa komplikasi serius seperti penyakit jantung, strok dan kanser rahim.

PCOS
Gaya hidup tidak sihat, corak pemakanan tinggi gula, dan kurang bersenam, serta tekanan kerja dan sosial yang berlebihan antara faktor penyumbang PCOS. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
 Ramai wanita mungkin tidak menyedari Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) antara gangguan hormon yang paling lazim dikesan dan jika tidak dirawat boleh membawa kepada komplikasi serius.

PCOS adalah sindrom hormon yang berlaku apabila tubuh wanita menghasilkan hormon androgen berlebihan dan tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin, menyebabkan haid tidak teratur, masalah kesuburan, serta meningkatkan risiko penyakit kronik.


Pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Amirah Amil dari Nurmediclinic mendedahkan semakin ramai wanita kini didiagnosis dengan PCOS, yang hanya disedari selepas berkahwin apabila menjalani pemeriksaan kesuburan.

Dr Amirah Amil
Dr Amirah Amil.

“PCOS bukan sekadar gangguan haid atau isu kesuburan semata-mata. Ia datang dengan set masalah lain yang, jika tidak dikawal, boleh membawa kepada komplikasi serius seperti penyakit jantung, strok dan kanser rahim,” katanya.

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), PCOS merupakan masalah kesihatan awam yang signifikan dan antara gangguan hormon paling kerap dialami wanita dalam usia reproduktif biasanya antara 15 hingga 49 tahun.

WHO menganggarkan 6% hingga 13% wanita dalam lingkungan umur tersebut terkesan, namun sehingga 70% daripada kes tersebut masih tidak didiagnosis.

Menurut Amirah, gaya hidup tidak sihat, corak pemakanan tinggi gula, dan kurang bersenam, serta tekanan kerja dan sosial yang berlebihan antara faktor penyumbang.

“Zaman nenek moyang kita pun ada PCOS cuma bezanya stabil atau pun tidak. Sekarang ramai terdedah kepada makanan ‘viral’, minuman manis, tidur tidak cukup dan stres yang kronik. Semua itu menjejaskan keseimbangan hormon dan menyebabkan tubuh tidak bertindak balas terhadap insulin dengan baik,” jelasnya.

Amirah berkata PCOS boleh dikesan lebih awal melalui tanda seperti haid tidak teratur, jerawat kronik, pertambahan berat badan mendadak, atau pertumbuhan bulu berlebihan.

 PCOS bukan mandul

Sementara itu, Amirah membetulkan anggapan bahawa PCOS hanya masalah kesuburan seolah-olah wanita yang terkesan tidak mampu mengandung. “PCOS bukan bermaksud wanita tidak boleh hamil. Ramai pesakit saya berjaya mengandung selepas menjalani rawatan dan mengubah gaya hidup.”

Salah faham seperti ini menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu, malah memberi kesan besar pada emosi dan kesihatan mental wanita, membuatkan pesakit berasa rendah diri, malu atau takut berkongsi keadaan mereka kerana khuatir dilabel tidak subur.

“PCOS boleh menyebabkan hormon tidak stabil, emosi mudah terganggu dan stres meningkat. Bila ditambah dengan stigma, tekanan itu menjadi dua kali ganda,” kata Amirah.

Mengulas tentang rawatan, beliau menerangkan PCOS memerlukan pendekatan jangka panjang dan tidak boleh diselesaikan hanya dengan ubat-ubatan.

Pengurusan berkesan perlu melibatkan perubahan menyeluruh terhadap rutin harian termasuk pemakanan, corak tidur, senaman dan pengurusan stres.

“Selepas disahkan PCOS, selain rawatan pesakit diperlukan untuk mengubah gaya hidup kerana rawatan PCOS tidak boleh dipisahkan dengan gaya hidup,” tambahnya.

Amirah menegaskan PCOS bukan pengakhiran kepada impian wanita untuk menjadi ibu, kerana, pesakit mampu menikmati kitaran haid yang stabil, tubuh yang lebih sihat dan peluang kehamilan yang lebih tinggi jika mereka konsisten dengan rawatan.

“Kita bantu pesakit ubah gaya hidup disertakan dengan rawatan yang sesuai dan apabila keadaan mereka stabil, ramai yang akhirnya berjaya hamil,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.