`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, February 11, 2026

Pemandu pelancong berlesen wajib untuk perkhidmatan persiaran

 Menteri Tiong King Sing berkata tugas pemandu ialah memandu kenderaan manakala pemandu pelancong beri penerangan dan jaga kebajikan pelancong.

Industri pengangkutan pelancongan melibatkan dua sistem pelesenan iaitu lesen kenderaan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat dan lesen syarikat pelancongan oleh Motac. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menegaskan penguatkuasaan terhadap kenderaan pelancongan yang beroperasi tanpa pemandu pelancong berlesen adalah berdasarkan undang-undang, bukan menyasarkan mana-mana pihak tertentu.

Menurut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), mana-mana perjalanan persiaran atau aktiviti pemanduan pelancong, kenderaan yang membawa pelawat bagi tujuan pelancongan hendaklah mempunyai lesen sah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata tugas pemandu ialah memandu kenderaan, manakala pemandu pelancong memberi penerangan dan menjaga kebajikan pelancong.

Beliau menekankan, pemandu tidak sepatutnya memegang kedua-dua peranan serentak kerana ia boleh menjejaskan keselamatan.

“Keselamatan pelancong dan pembahagian tugas profesional tidak boleh dipandang ringan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan peningkatan kemalangan jalan raya melibatkan pelawat asing, yang menjejaskan imej negara dan industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, mengambil kira keperluan operasi sebenar dalam industri serta situasi pergerakan pelancong antara lokasi berbeza, kementerian melalui garis panduan dikeluarkan pada 2009 memperuntukkan pengecualian tatacara dalam keadaan tertentu melibatkan keperluan menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Pengecualian khidmat pemandu pelancong akan terpakai secara automatik bagi perjalanan ‘shuttle’ yang hanya melibatkan perkhidmatan pengangkutan dari satu lokasi ke satu lokasi (point-to-point), dengan jumlah pelancong tujuh orang ke bawah, sama ada pelawat tempatan atau asing.

Tiong berkata, pengecualian tatacara sedia ada hanya terpakai kepada perkhidmatan pengangkutan ‘point-to-point’ yang ditakrifkan secara ketat, dan tidak merangkumi sebarang bentuk aktiviti persiaran, penerangan atau persinggahan di lokasi tarikan.

“Bagi kenderaan pelancongan yang membawa tujuh orang ke atas untuk tujuan pengangkutan, pengusaha berkaitan hendaklah mengemukakan permohonan kepada Pesuruhjaya Pelancongan melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (Sistem Tourlist) sebelum pengecualian boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, pengusaha pelancongan tidak boleh menyewakan lesen kepada pemandu atau pengendali lain.

“Kami mendapati terdapat segelintir pengusaha pelancongan berlesen yang mengamalkan ‘penyewaan’ lesen, iaitu menyewakan lesen kepada pemandu kenderaan pelancongan atau pengendali kenderaan pelancongan. Perkara ini tidak lagi boleh kami biarkan.

“Dalam isu melibatkan keselamatan pelancong, seluruh industri harus memikul tanggungjawab, dan bukannya terus beroperasi dengan sikap tidak bertanggungjawab. Jika didapati berlaku pelanggaran sedemikian, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau juga menyeru industri mengemukakan cadangan atau tafsiran berbeza melalui dialog rasmi, bukan petisyen terbuka atau kenyataan awam sebelah pihak bagi memastikan persefahaman yang selaras serta mengelakkan kekeliruan.

Selain itu, Tiong menjelaskan industri pengangkutan pelancongan melibatkan dua sistem pelesenan iaitu lesen kenderaan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan lesen syarikat pelancongan oleh Motac.

“Oleh itu, perbincangan antara Motac dengan Kementerian Pengangkutan dalam pengurusan lesen sedang berjalan di peringkat akhir. Langkah seterusnya adalah untuk memperjelas had pengurusan lesen dan bidang kuasa penguatkuasaan, bagi memastikan tanggungjawab yang jelas, piawaian seragam, serta mengelakkan pertikaian antara pengusaha dan pihak berkuasa akibat perbezaan tafsiran.

“Langkah ini juga mencerminkan komitmen kementerian dalam memelihara pembangunan ekosistem pelancongan negara yang sihat, serta memastikan pelaksanaan selari dengan matlamat keseluruhan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.