Angin kencang dan kedudukan rumah rapat menyebabkan kebakaran merebak cepat selain laut surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 1.32 pagi dan sehingga kini kerja pemadaman masih dijalankan.
“Bomba menghadapi kesukaran ke lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit sekali gus menghalang pergerakan jentera.
“Faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat selain laut surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, 35 anggota bomba termasuk dari BBP Sandakan dan Kinabatangan dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Walter Kenson, yang juga presiden Majlis Perbandaran Sandakan mengisytiharkan bencana kebakaran susulan kejadian.
Beliau berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk terjejas.
“Pemeriksaan mendapati kediaman penduduk terjejas tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, angka tidak rasmi menunjukkan mereka yang didaftarkan di PPS setakat ini ialah 445 orang terdiri 89 keluarga. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.