`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, April 12, 2026

Kemasukan matrikulasi perlu seimbang, bukan hanya semua A, kata ahli akademik

 Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore berkata tawaran untuk calon SPM cemerlang juga perlu ikut merit, kapasiti dan prinsip sosial.

stpm
Ahli akademik gesa pertimbangan tambahan diberikan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan untuk ke program matrikulasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Penawaran ke program matrikulasi perlu diperhalusi sebaiknya supaya tidak menjejaskan kapasiti, keseimbangan sistem sedia ada serta matlamat lebih besar pendidikan negara, kata dua ahli akademik.

Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore, berkata pelaksanaan dasar itu tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut ganjaran kepada pelajar cemerlang, merujuk gesaan DAP supaya semua pelajar memperoleh 10 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diberi tempat secara automatik.

Menurut ahli akademik itu, kemampuan sebenar program matrikulasi menampung kemasukan juga perlu diambil kira untuk mengelakkan kesesakan dalam kelas yang akhirnya menjejaskan pembelajaran.

Beliau turut menekankan pertimbangan tambahan diberikan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan selaras prinsip sosial.

“Langkah itu penting supaya pelajar berprestasi tinggi yang berdepan kekangan kewangan tidak tercicir berbanding rakan sebaya lebih berkemampuan,” kata ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kepada FMT.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada Rabu mengumumkan 6,717 calon memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam SPM 2025 akan ditawarkan secara automatik ke program matrikulasi sesi 2026/2027 tanpa mengambil kira kaum dan latar belakang.

Kuota kemasukan 90% Bumiputera ke program berkenaan kekal dan tidak terjejas

Mengulas lanjut, Effendi berkata penempatan yang turut dibuat mengikut sistem kuota itu dibuat supaya objektif asal matrikulasi dalam kerangka ekuiti pendidikan tidak terjejas.

“Selain itu, jika semua pelajar 10A diberi tempat secara automatik, ia turut berisiko mengganggu imbangan kemasukan ke laluan pra universiti lain seperti asasi universiti awam dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Beliau turut mencadangkan penyelarasan lebih rapi antara KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di matrikulasi kerana kekangan kapasiti boleh disalurkan ke program asasi universiti awam atau diploma.

“Ini penting supaya persaingan untuk matrikulasi tidak terlalu tertumpu hingga menjejaskan peranan dan prestij laluan lain seperti STPM,” katanya.

Noor Azlan Ahmad Zanzali dari Universiti Muhammadiyah Malaysia pula berkata sistem penilaian kemasukan ke program matrikulasi tidak boleh hanya berasaskan keputusan 10 A keatas semata-mata.

Menurutnya, penilaian itu seharusnya perlu lebih holistik termasuk kemahiran insaniah, kebolehan berfikir, dan potensi pelajar untuk berjaya di universiti.

“Saya juga banyak mendapati pelajar yang memperoleh 10A ini dilihat ‘hilang arah’ apabila masuk ke universiti kerana mereka hanya menghafal.

“Untuk mengelakkan perkara ini, syarat kemasukan ke universiti perlu dinyatakan dengan jelas, iaitu mesti ada penilaian yang lebih holistik dan tidak hanya bergantung kepada keputusan 10A keatas semata-mata,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.