Shahidan Kassim yang juga bekas pemimpin Umno mendakwa ramai berharap ia dapat diteruskan tanpa dihalang kepentingan politik tertentu.

Shahidan Kassim yang juga bekas pemimpin Umno turut mengimbau suasana penuh emosi pada 2019 ketika parti itu dan PAS menandatangani Piagam MN, yang menurutnya menjadi lambang kesyukuran serta harapan apabila dua parti Melayu terbesar kembali menjalin kerjasama demi penyatuan ummah.
“Bagi saya, rakyat masih mengharapkan semangat MN dapat diteruskan tanpa dihalang oleh kepentingan politik tertentu. Saya masih teringat suasana penuh emosi pada tahun 2019 ketika Umno dan PAS menandatangani Piagam Muafakat Nasional.
“Tangisan pemimpin dan ahli kedua-dua parti ketika itu membawa seribu makna, lambang kesyukuran dan harapan apabila dua parti Melayu terbesar di Malaysia kembali menjalin kerjasama demi penyatuan ummah,” tulisnya di Facebook.
Dalam pada itu, Shahidan turut merujuk pandangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mencadangkan semangat muzakarah dihidupkan semula sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut perpaduan antara PAS dan Umno.
Menurut Shahidan, cadangan itu termasuk melantik pihak ketiga terdiri daripada mufti dan ilmuwan Islam sebagai perantara bagi merapatkan jurang perbezaan pendapat berlandaskan al-Quran dan sunnah.
“InsyaAllah, suatu hari nanti kita semua mampu kembali duduk semeja demi masa depan agama, bangsa dan negara yang lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi sebelum ini berkata partinya hanya mungkin mempertimbangkan kerjasama semula dengan PAS sekiranya parti Islam itu menghilangkan ‘DNA khianat’, merujuk kegagalan MN selepas PAS bersama Bersatu membentuk PN.
Sementara itu, Shahidan mengucapkan selamat ulang tahun ke-80 kepada Umno sambil mengenang pengalaman panjangnya bersama parti itu di bawah kepimpinan empat presiden terdahulu iaitu Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan Zahid.
Beliau berkata setiap era kepimpinan mempunyai cabaran dan jasa tersendiri yang banyak membentuk perjalanan hidup serta pemikirannya hingga hari ini.
Shahidan, yang kini bersama PAS mengakui bangga menjadi ahli parti Islam seumur hidup kerana parti itu memperjuangkan masyarakat dan pemerintahan berteraskan nilai Islam serta mempertahankan kesucian agama, kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Beliau turut menegaskan orang Melayu dan Bumiputera perlu terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan.
“Saya menulis ini kerana saya tidak pernah melupakan jasa dan kenangan bersama Umno. Ramai sahabat dalam Umno yang masih saya hormati dan kekal berkawan sehingga hari ini.
“Perbezaan parti tidak seharusnya memutuskan silaturahim sesama anak bangsa dan rakyat Malaysia,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.