Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata tragedi kapal karam membawa migran di Pulau Pangkor, kelmarin dedah realiti pahit golongan itu.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das, mendakwa ada juga migran sanggup membayar sehingga RM50,000, terutama dalam kes membabitkan transit ke negara ketiga seperti Australia.
“Berdasarkan pengalaman Tenaganita, kami mendapati migran tanpa dokumen sering membayar antara RM5,000 hingga RM25,000 kepada ejen dan penyeludup, bergantung kepada laluan, janji dan jenis dokumen digunakan.
“Sindiket meraih keuntungan besar daripada perasaan putus asa, ketakutan dan harapan manusia,” katanya kepada FMT.
Kejadian bot karam membabitkan migran bukan kali pertama berlaku di negara ini, terbaru di perairan Pulau Pangkor, Perak, kelmarin menyaksikan 23 mangsa diselamatkan manakala 14 lagi masih hilang.
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia dengan beberapa destinasi dipercayai termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.
Das berkata, tragedi itu sekali lagi mendedahkan realiti pahit dihadapi migran, pencari suaka dan pelarian yang terpaksa menggunakan ‘laluan tikus’ akibat kemiskinan, hutang, konflik, eksploitasi ejen perekrutan dan kelemahan sistem perlindungan rentas sempadan.
“Punca sebenar ialah eksploitasi, rasuah, rangkaian pemerdagangan manusia, sistem perekrutan yang menindas dan tadbir urus migrasi yang tidak selamat.
“Ramai mengambil perjalanan berbahaya ini bukan kerana mahu melanggar undang-undang, tetapi kerana mereka merasakan tiada pilihan selamat dan bermaruah meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan strategik negara, permintaan tenaga buruh dan kewujudan komuniti migran sedia ada menjadikan Malaysia destinasi dan transit bagi migran, pelarian serta pencari suaka.
“Negara serantau perlu memperkukuh kerjasama bagi menyediakan laluan migrasi lebih selamat, sistem perekrutan beretika dan telus, selain tindakan tegas terhadap penyeludup, pemerdagang manusia serta pihak meraih keuntungan daripada penderitaan migran,” katanya.
Sementara itu, Koordinator Migrant Care Malaysia, Alex Ong, berkata angka rasmi dari Januari hingga Disember 2025 menunjukkan kira-kira 120 warga Indonesia meninggal dunia di negara ini dan mayat mereka diserahkan semula kepada kerajaan republik itu.
Beliau berkata, lebih 95% daripada jumlah itu dipercayai pekerja tanpa dokumen.
“Itu angka rasmi tetapi kita tak tahu maut akibat bot tenggelam ketika cuba masuk ke negara ini atau kematian tak dilaporkan.
“Kemiskinan melampau menjadi antara punca utama penghijrahan penduduk wilayah itu ke Malaysia dengan sebahagian mereka memperoleh pendapatan kurang RM100 sebulan di tempat asal,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.