Mazlan Ali berkata Muhyiddin Yassin mungkin mudah diterima berbanding pemimpin PAS namun tetap perlu sokongan parti itu untuk kembali ke Putrajaya.

Mereka menyifatkan kenyataan Presiden Urimai P Ramasamy tiada pemimpin PAS mampu menandingi pengalaman politik nasional dan kepimpinan Muhyiddin mencerminkan persepsi sebahagian bukan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN).
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, pandangan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu perlu dilihat daripada kerangka pemikiran politiknya yang melihat Malaysia sebagai negara majmuk.
Katanya, walaupun Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar dilihat antara tokoh penting pembangkang kerana latar profesional dan pengalamannya mentadbir Terengganu, PAS masih berdepan cabaran meyakinkan bukan Melayu serta Islam kerana parti itu sejak sekian lama dikaitkan perjuangan agama sebagai dasar pemerintahan, termasuk pelaksanaan hudud.
“Pemimpin bukan Islam tentu merasakan PAS tidak boleh menerajui kepimpinan negara jika PN menang pada PRU16.
“Walaupun PAS mungkin memenangi kerusi lebih banyak, pada kaca mata pemimpin bukan Islam seperti Ramasamy, individu lebih layak menerajui ialah seseorang seperti Muhyiddin,” katanya kepada FMT.
Mazlan berkata, Muhyiddin dilihat lebih sesuai oleh kelompok itu kerana beliau datang daripada Bersatu, parti nasionalis Melayu yang ideologinya lebih hampir dengan Umno, parti yang pernah menjadi tulang belakang kerajaan selama beberapa dekad.
Pada 8 Mei lalu, Ramasamy dalam hantaran di Facebook antaranya mendakwa tiada pemimpin PAS mampu menandingi kualiti Muhyiddin dari segi pengalaman politik nasional dan kepimpinan.
Beliau turut mendakwa Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih bimbang terhadap Muhyiddin berbanding pemimpin nasional PAS kerana Ahli Parlimen Pagoh itu lebih diterima masyarakat bukan Melayu.
Bagaimanapun, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dakwaan bahawa Anwar lebih bimbang terhadap Muhyiddin berbanding PAS.
Katanya, walaupun Muhyiddin mempunyai pengalaman politik nasional lebih luas, kedudukannya dalam PN tetap bergantung kepada sokongan PAS.
“Muhyiddin tidak akan dapat naik sebagai perdana menteri tanpa sokongan PAS. Jadi, saya rasa PMX masih lebih risaukan sokongan kepada PAS,” katanya.
Syaza berkata, perbezaan utama antara Muhyiddin dan Samsuri ialah pengalaman kerana Muhyiddin pernah menjadi perdana menteri manakala PAS belum mengetuai kerajaan di peringkat nasional.
Namun, beliau berkata kekurangan pengalaman nasional Samsuri tidak semestinya menjadi kelemahan besar kerana ia juga bermakna menteri besar Terengganu itu kurang terbeban dengan isu lama.
“Saya tidak rasa Muhyiddin atau Dr Sam benar-benar popular dalam kalangan bukan Melayu. Dr Sam mungkin kurang pengalaman berbanding Muhyiddin, tetapi itu juga bermakna beliau kurang isu.
“Jika bukan Melayu benar-benar sudah muak dengan PH, saya rasa Dr Sam boleh juga menjadi penarik,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.