`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Tuesday, September 29, 2026

Bukan PAS atau PH, Umno ada kekuatan sendiri atau tidak?

 Persoalan utama bukan hanya siapa rakan politik Umno tetapi sejauh mana parti itu masih mampu menentukan hala tujunya sendiri.

tajuddin rasdi

Umno mahu bersama PAS? Silakan. Mahu terus dengan Pakatan Harapan? Itu pun pilihan mereka. Mahu keluar kerajaan perpaduan sekalipun, itu hak Umno.

Tetapi, jangan kita pening sangat dengan siapa Umno mahu ‘kahwin’. Soalan yang lebih penting ialah: Umno hari ini cukup kuatkah untuk memilih, atau sebenarnya sedang mencari sesiapa yang boleh membantunya bertahan?

Desakan supaya Umno mendekati PAS memang semakin kuat dan suara itu kedengaran jelas dalam parti. Tetapi jerit kuat tidak semestinya bermakna kedudukan politik juga kuat.

Bacaan saya mudah. Umno perlukan bantuan.

Dalam pertandingan tiga penjuru, matematiknya tidak menyebelahi Umno semudah yang cuba digambarkan sesetengah pemimpinnya. Sebab itu PAS menjadi menarik. Bukan kerana tiba-tiba kedua-duanya menemui formula hebat untuk Malaysia, tetapi kerana angka undi nampak lebih sedap apabila dicampurkan.

PAS tambah Umno, atas kertas memang nampak ‘ong’.

Masalahnya, kalau Umno memerlukan PAS lebih daripada PAS memerlukan Umno, siapa sebenarnya akan menentukan syarat?

Itu perkara yang penyokong kerjasama ini perlu fikir.

PAS sudah mempunyai tapak kukuh di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Kalau empat negeri itu dianggap kawasan PAS, apa yang tinggal untuk Umno?

Johor, Melaka dan Negeri Sembilan?

Bagaimana pula Selangor, Perak dan Pahang? Kalau perlu dibahagi juga, semakin kecil ruang Umno untuk mendakwa dirinya pemain utama dalam perkongsian itu.

Politik bukan sekadar campur undi dan kira siapa dapat lebih banyak kerusi. Selepas menang, ada satu lagi soalan: siapa bos?

Umno mungkin masuk dengan sejarah panjang sebagai parti yang pernah menguasai kerajaan persekutuan. PAS pula akan masuk dengan kekuatan akar umbi dan negeri yang kini menjadi kubunya.

Jadi jangan anggap ‘kahwin’ itu automatik menjadikan kedua-duanya pasangan sama taraf.

Kalau satu pihak lebih kuat, satu pihak lagi akhirnya kena ikut.

Di situlah masalah Umno. Parti itu mahu dilihat masih besar, tetapi pada masa sama kelihatan memerlukan rakan untuk mengelakkan dirinya daripada tersepit dalam pertandingan pelbagai penjuru.

Mahu duduk semeja dengan PAS boleh. Tetapi kalau datang ke meja dengan kerusi sendiri pun tidak cukup kukuh, jangan terkejut kalau orang lain menentukan menu.

Kemudian ada pula soal dasar dan hala tuju.

PAS mempunyai pendirian sendiri mengenai perlembagaan, pentadbiran dan pelbagai isu negara. Umno pula selama ini mahu membawa imej parti Melayu yang lebih luas dan mempunyai sejarah bekerja dengan pelbagai parti komponen.

Apabila kedua-duanya bersama, siapa akan mengikut siapa?

Itu bukan soalan kecil. Ia akan menentukan bukan sahaja pembahagian kerusi tetapi juga wajah kerajaan yang mahu dibentuk.

Kemudian kita sampai kepada soalan paling sedap: kalau gabungan itu berkuasa, siapa jadi perdana menteri?

Umno mahu jawatan itu? PAS tentu ada perkiraannya sendiri.

Kalau Umno masuk ke dalam kerjasama dalam keadaan lebih lemah, atas alasan apa PAS perlu menyerahkan kedudukan paling atas kepadanya?

Inilah perkara yang saya rasa lebih penting daripada segala jeritan tentang mahu bersama siapa dan mahu meninggalkan siapa.

Umno perlu bertanya kepada dirinya sendiri: apa sebenarnya yang dibawa ke meja rundingan?

Kerusi? Undi? Negeri? Kepimpinan? Atau sekadar nama besar daripada zaman lalu?

Isu Negeri Sembilan juga menunjukkan betapa rumitnya kedudukan parti itu apabila percaturan di peringkat negeri boleh membawa kesan jauh lebih besar kepada imej dan hubungan politiknya.

Semakin banyak percaturan dibuat, semakin banyak pula Umno perlu menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya pendiriannya.

Sebab itu bagi saya, sebelum bercakap besar tentang PAS atau PH, ukuran paling mudah ialah kekuatan Umno sendiri.

Kalau sebuah parti benar-benar kuat, ia tidak perlu terlalu risau siapa mahu bersamanya. Orang lain yang akan datang mengetuk pintu.

Kalau setiap kali pilihan raya perlu mencari formula siapa punya undi boleh ditumpang, siapa punya kubu boleh dikongsi dan siapa boleh membantu elak kekalahan tiga penjuru, itu bukan tanda kuasa tawar yang hebat.

Itu tanda ada masalah. Umno boleh memilih siapa sahaja sebagai rakan politik. Itu urusan mereka.

Tetapi ‘kahwin’ dengan PAS tidak secara ajaib menjadikan Umno lebih kuat. Keluar daripada kerajaan perpaduan juga tidak dengan sendirinya mengembalikan zaman kegemilangannya.

Akhirnya politik sangat mudah. Kalau kuat, tunjuk kuat.

Kalau masih perlukan orang lain untuk nampak kuat, jangan marah apabila orang bertanya siapa sebenarnya yang memimpin siapa. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.