Peluang dalam AI, ekonomi digital dan teknologi hijau boleh dimanfaatkan menerusi perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi.

Kaunselor Menteri dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Kedutaan Malaysia di Beijing Niqman Rafaee M Sahar berkata keutamaan di bawah Rancangan Lima Tahun Ke-15 China membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk menjalin kerjasama dalam pembangunan teknologi, inovasi industri dan pengkomersialan penyelidikan.
Katanya, peluang itu termasuk penyumberan strategik, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi yang boleh membantu meningkatkan keupayaan industri Malaysia.
“Keutamaan itu turut meliputi penggunaan teknologi dalam sektor industri dan peningkatan produktiviti melalui pendigitalan, di samping peralihan kepada pembangunan hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group Sdn Bhd Amir Junaidi Amerrudin di pejabat Matrade di Beijing.
Niqman berkata Matrade turut menggalakkan syarikat Malaysia melihat peluang di bandar peringkat kedua, ketiga dan keempat di China, selain pasaran utama seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen.
Menurutnya, langkah itu dapat mempelbagaikan pasaran eksport dan membuka akses kepada sektor industri serta teknologi sedang berkembang.
Matrade, katanya, terus membantu syarikat Malaysia memasuki pasaran China menerusi promosi eksport, pemadanan perniagaan, pembangunan hubungan perdagangan serta khidmat nasihat mengenai keperluan dan pematuhan eksport.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan VFive Group Syafiq Abdullah, berkata syarikat itu sedang meneroka kerjasama dengan pemain teknologi China dalam perubatan digital, sistem AI, jentera pertanian pintar dan teknologi pembinaan moden.
Katanya, tumpuan diberikan kepada teknologi yang praktikal dan sesuai dengan keperluan industri Malaysia, termasuk dari segi kos pelaksanaan serta kesesuaian operasi tempatan.
Dalam sektor pertanian, katanya, penggunaan jentera pintar dan AI boleh meningkatkan kecekapan menerusi automasi, pemantauan tanaman berasaskan data serta penggunaan input pertanian dengan lebih tepat.
“VFive juga sedang mengenal pasti peluang perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi bagi menyokong pembangunan industri tempatan,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.