Adalah menarik untuk kita melihat bagaimana hampir separuh pengundi wanita di Melaka kelak mengundi.

Melihat senarai calon wanita untuk PRN Melaka saya sebetulnya terkedu. Ia cepat membawa saya kepada watak-watak wanita ikonik dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Sukar untuk memadam watak-watak seperti Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah dari benak. Malangnya wanita yang saya sebutkan ini dihinjak dalam politik.
Ambil sahaja Tun Kudu yang menjadi sekadar ‘alat’ untuk kepentingan penguasa. Tun Kudu adalah puteri kepada Bendahara Seri Wak Raja dan merupakan permaisuri kepada Sultan Muzaffar Syah yang memerintah Melaka (1446-1459). Namun demikian untuk meredakan perseteruan dua kem politik orang Melayu yang berebutkan kedudukan sebagai bendahara, Sultan Muzzafar Syah telah menceraikan Tun Kudu dan mengaturkan baginda untuk menjadi isteri Bendahara Seri Nara Diraja yang sudah tua kerepot, lagi berusia.
Seri Nara Diraja memang menyebabkan Sultan Muzaffar sakit kepala kerana enggan bersara, membolot jawatan tersebut setelah Bendahara Seri Wak Raja dan hanya sedia melakukannya dengan syarat diberi hadiah gundik sultan. Makanya dalam percaturan Sultan Muzaffar, Paduka Raja Tun Perak, iaitu kekanda Tun Kudu terpaksa mengambil sikap damai. Tun Ali atau Seri Nara Diraja itu adalah bapa saudara Sultan Muzaffar Syah dan pembesar yang bertanggungjawab mengatur dan meletakkan Sultan Muzaffar di atas takhta pada 1446.
Watak kedua pula adalah Tun Teja iaitu anak Bendahara Pahang Seri Amar Bangsa Diraja dan disebut sebagai tunangan kepada Sultan Pahang, Sultan Abdul Jalil. Akan tetapi Sultan Mahmud Syah yang gila perempuan telah berusaha mendapatkan Tun Teja lantas bertitah kepada pembesar; “Barang siapa membawa anak Bendahara Pahang itu ke mari, apa yang dikehendakinya ku anugerahkan akan dia. Jikalau ia hendakkan sekerat kota dengan kerajaan sekalipun kita anugerahkan”.
Dalam riwayat, Tun Teja dilarikan oleh Hang Nadim (menantu kepada Laksamana Hang Tuah) demi menebus kesalahannya terhadap sultan. Untuk melakukannya, Hang Nadim merasuah seorang pelulut untuk memujuk Tun Teja agar kelak berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah. Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, Tun Teja merupakan seorang yang bermaruah tinggi dan bukanlah gilakan kedudukan. Beliau malah menolak lamaran sultan Melaka, sebaliknya memilih menjadi isteri Megat Panji Alam Terengganu.
Perbuatan pelulut membujuk Tun Teja ini gagal. Oleh sebab Tun Teja liat dan berkeras, malangnya baginda disihir dengan ubat guna-guna lantas dipaksa berkahwin dengan Sultan Mahmud tanpa kerelaan.
Sultan Mahmud Syah selaku raja dan sultan yang gila perempuan seterusnya mensasarkan pula Tun Fatimah. Baginda adalah anak Tun Mutahir dan baru berkahwin dengan Tun Ali. Sultan Mahmud Syah menggunakan kuasa baginda untuk membunuh Tun Ali sebelum merebut Tun Fatimah. Ini juga didorong oleh fitnah Raja Mendaliar kononnya Tun Mutahir sedang merancang untuk menggulingkannya. Sultan menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara untuk menghabisi seisi keluarga bendahara. Kesan atau trauma kehilangan seisi keluarga dan suami itu, Tun Fatimah hidup berendam dendam. Dalam riwayat disebut Tun Fatimah itu ‘selama ia duduk dengan Sultan Mahmud Syah jangankan ia tertawa, tersenyum pun tiada pernah’. Bahkan setiap kali mengandung, baginda menggugurkan kandungannya.
Kisah raja gila seks, termakan fitnah dan pertelingkahan politik antara kem pembesar untuk berebut kedudukan dan jawatan bendahara ini adalah satu renungan yang penting untuk kita memahami pula konteks semasa.
Hari ini Melaka menyaksikan sekali lagi perebutan kuasa dalam bentuk pilihan raya. Dengan mengambil ingatan, Melaka melayan watak wanita sebagai alat percaturan politik, pemuas nafsu dan sekadar di pinggiran; saya dengan berhati-hati mencari parti politik yang tidak melakukan hal-hal sedemikian. Saya juga menyuruhkan kaum keluarga saya yang terdiri dari pengundi wanita untuk tidak memilih mereka yang melayan wanita dengan buruk.
Sudah tentu kita telah menjauhi era kesultanan Melayu yang penuh malapetaka seperti di atas. Iklim politik kita juga harapnya tidaklah setoksik itu. Pun tenung punya tenung saya mesti memastikan parti politik manakah yang tidak menjadikan wanita sekadar melukut di tepi gantang. Saya benci perlakuan Melaka di zaman lampau tersebut.
Mengapakah saya memberi tumpuan kepada wanita? Jawapan mudahnya, ini adalah kerana dalam rekod, terdapat 348,849 orang pengundi di PRN Melaka kali ini adalah perempuan, iaitu 50.73% daripada jumlah keseluruhan pemilih. Justeru saya berpandangan penting untuk kita melihat komponen parti manakah yang paling bersungguh memperjuangkan wanita.
Letak duduk wanita dalam politik adalah penting terutama setelah ucapan kontroversi di Persidangan Agung Umno 2026, iaitu apabila Presiden Zahid Hamidi berseloroh mengatakan Ketua Wanita Noraini Ahmad nampak macam ‘nenek-nenek’.
Pakatan Harapan menjanjikan lima orang calon wanita untuk membawa mandat rakyat Melaka di kawasan masing-masing. Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengetengahkan tiga orang calon wanita dalam PRN Melaka, pada 14 November ini. Menurut Setiausaha Agung Fuziah Salleh, daripada sembilan calon yang diketengahkan parti itu, tiga calon wanita telah diberi kepercayaan untuk bertanding, dan ini mewakili 33.3% daripada keseluruhan calon PKR pada PRN. Calon wanita ini adalah Ketua Pemuda Tangga Batu, Farzana Hayani Nasir di Klebang; Ketua Penerangan Wanita Ginie Lim Siew Lin yang sekali lagi bertanding di DUN Machap Jaya, dan Esma Eazreen Husin di Rim. Farzana, seorang Gen Z baru-baru ini mendapat perhatian ramai apabila diusir seorang anggota wanita Umno dari menghadiri program Kampung Angkat Madani di kawasan masjid Bukit Rambai.
Dalam pada itu, Amanah di Merlimau membawakan Rahayu Hamzah. Beliau akan membawa tugas besar untuk menewaskan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang baru-baru ini kalah dalam saman berkaitan isu cadangan pensijilan halal, di mana Akmal merujuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai ‘nyonya tua’. Akmal diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Teresa. Ini termasuklah kos perundangan sebanyak RM50,000 (jumlah keseluruhan RM300,000). Dalam vonis hakim, iaitu Isa Aziz Ibrahim; Akmal malah ditegur dengan kata-kata bahawa adab itu membentuk keperibadian.
Menariknya jumlah peratusan pengundi wanita di DUN N.27 Merlimau, Melaka ini adalah sebanyak 52.45% berdasarkan data rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Justeru kita akan mengetahui minda atau kognitif pengundi wanita di Merlimau, bagaimana mereka melayan wanita itu sendiri. Apakah misalnya ‘adab membentuk keperibadian’ akan dijadikan pedoman.
Sebuah lagi parti komponen Pakatan Harapan, DAP pula menaruh harapan menerusi Leng Chau Yen yang bertanding di kerusi DUN N22 Bandar Hilir.
Umno terus tampil meletakkan calon-calon lelaki yang berusia di kebanyakan kerusi. Parti ini juga sekadar meletakkan tiga calon wanita untuk bertanding. Hal ini tentulah menyedihkan. Calon wanita dikemukakan di Pengkalan Batu (menggugurkan penyandang wanita sebelum ini yang agak cekatan). Dalam pada itu, muka lama Tuminah Kadi dikitar semula di Pantai Kundor; sementara bekas pengacara rancangan hiburan dikekalkan di Rim, iaitu Khaidhirah anak ketua menteri Melaka kelapan, Abu Zahar Ithnin.
Adalah menarik untuk kita melihat bagaimana hampir separuh pengundi wanita di Melaka kelak mengundi. Yakni apakah mereka akan membiarkan watak seperti Tun Teja, Tun Kudu dan Tun Fatimah menjadi igauan politik di Melaka; atau melakukan sesuatu yang beradab. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.