Pesuruhjaya Tinggi India Somnath Ghosh berkata hubungan India-Perlis mempunyai sejarah panjang yang boleh dimanfaatkan.

Perkara itu antara dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Somnath Ghosh yang menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Istana Arau, semalam.
Mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail serta puteri kedua baginda Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Menurut kenyataan Istana Arau, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai peluang kerjasama baharu demi manfaat bersama, termasuk potensi kolaborasi dalam sektor pendidikan dan ekonomi.
Ghosh berkata kunjungan itu juga bertujuan mengukuhkan hubungan India dengan Perlis yang sudah lama terjalin.
Katanya, hubungan itu dapat dijejak sejak lawatan negara rasmi Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, ke India pada 1961.
Menurutnya, lawatan bersejarah itu membantu meletakkan asas hubungan diplomatik moden antara Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudiannya menjadi Malaysia, dengan India.
India, katanya, turut menghargai peranan institusi diraja Perlis dalam memupuk keharmonian dan kemajuan.
Ghosh merakamkan penghargaan kepada Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis kerana menerima kunjungan hormatnya serta yakin hubungan India-Perlis akan terus berkembang.
Sepanjang hari pertamanya di Perlis, Ghosh turut menghadiri taklimat mengenai potensi pelaburan negeri oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis, selain menyertai beberapa program bersama Tuanku Syed Faizuddin. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.