BEBERAPA hari selepas tauliah mengajar pendakwah kontroversi Zamihan Mat Zain ditarik balik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengingatkan umat Islam di negeri itu tentang terdapatnya “segelintir individu yang mengamalkan cara hidup beragama tetapi tidak berakhlak mulia”.
Dalam teks khutbah Jumaat bertajuk “Akhlak Mulia, Ibadah Sempurna” Jais berkata golongan ini juga beranggapan “bahawa pemahaman mereka sahaja yang betul dan perlu diikuti”.
“Dewasa ini, terdapat segelintir individu yang mengamalkan cara hidup beragama tetapi tidak menitik beratkan aspek akhlak dan nilai mulia pada peribadinya.
“Bahkan, mereka mudah mengucapkan kata-kata yang buruk, lucah dan kasar dengan melontarkan berbagai-bagai andaian buruk dan tuduhan kesesatan ke atas orang lain yang tidak bersependapat dan sealiran dengan mereka,” kata Jais dalam teks khutbah yang disediakan untuk semua masjid dan surau di negeri Selangor.
Zamihan yang merupakan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetapi kini dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) disiasat mengikut Akta Hasutan dan ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi Muslim di negeri itu.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar pendakwah Zamihan susulan ceramah agama yang disampaikannya mengandungi perkataan rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor, arahan itu dikeluarkan mengikut peruntukan Peraturan 17, Peraturan-peraturan Tauliah (Selangor) 2008.
Keahlian Zamihan sebagai Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor juga dibatalkan.
Pada 13 Oktober, Jais mengeluarkan larangan sementara terhadap Zamihan daripada berceramah di semua masjid dan surau di negeri itu.
Dalam teks khutbah Jumaat hari ini Jais berkata, setiap amalan dan perbuatan manusia hendaklah berlandaskan kepada ajaran Islam yang lengkap meliputi aspek ibadah, akhlak, muamalah dan sebagainya.
“Akhirnya akhlak akan terhasil melalui perlakuan-perlakuan baik itu secara mudah, istiqamah dan ikhlas. Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan kesan dari iman dan aqidah yang luhur.
“Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai dengan akhlak. Ia diibaratkan seperti rumah kosong yang tidak berpenghuni,” kata Jais lagi.
Johor sebelum ini turut mengambil tindakan terhadap Zamihan, termasuk memutuskan ikatan dengan agensi agama persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed mengatakan kementeriannya akan mempertimbangkan dengan serius kedudukan Zamihan.
Pendakwah kontroversi itu sebelum ini pernah “bergaduh” dengan ramai pihak termasuk Mufti Wilayah Persekutuan dan Perlis.
– https://www.themalaysianinsight.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.