Walaupun tidak dizahirkan secara rasmi, kecondongan Pas kepada UMNO dan BN serta keinginan mahu melihat Najib Razak terus kekal sebagai Perdana Menteri semakin sukar untuk disangkal.
Satu demi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan parti itu, jika disoroti, semuanya lebih menjurus ke arah untuk memastikan Najib tidak kecundang dalam pilihanraya akan datang.
Pas seolah-olahnya lebih rela mereka sendiri yang kalah asalkan yang menang ialah Najib.
Sama seperti UMNO dan BN yang tidak rela melihat Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad menduduki Putrjaya, Pas juga sedemikian adanya.
Lantaran itu, meskipun Pas merupakan sebahagian daripada pembangkang, tetapi yang dimusuhi mereka bukanlah UMNO dan BN, sebaliknya adalah Pakatan Harapan yang merupakan sesama pembangkang juga.
Boleh dikata tidak ada, kecuali oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, serangan daripada Pas yang ditujukan kepada UMNO dan BN.
Dalam beberapa keadaan, Pas hanya mendiamkan diri terhadap sekian banyak kemungkaran dalam negara, termasuk kecurian wang berbilion-bilion yang diperkatakan di seluruh dunia.
Tetapi, sedikit saja ada ruang untuk menyerang Pakatan Harapan, mulut pimpinan Pas melakukan serangan macam bertih jagung jadinya.
Beberapa lama ini sebelum ini, Pas mengatakan mengundi Pakatan Harapan sama seperti mengundi DAP.
Nada itu sama seperti apa yang dimainkan UMNO, meskipun hakikatnya mereka sedar DAP hanyalah bertanding 52 kerusi Parlimen saja dan saingannya pula adalah MCA, MIC atau Gerakan yang jelas merupakan parti-parti bukan Melayu dalam BN sendiri.
Pas yang dulunya bertemakan Islam dan menolak kebangsaan atau assabiyah, kini Islamnya entah ke mana, tetapi Melayunya kadang-kadang lebih daripada UMNO sendiri.
Sementara UMNO hanya berbaju Melayu dan bersamping songket, Pas siap bertanjak dan berkeris untuk memperlihatkan keMelayuannya.
Mungkin kerana agaknya gaya serangan kepada DAP itu tidak berapa jalan, kali ini Hadi sendiri mengatakan mengundi Pakatan Harapan adalah sama seperti mengiyakan kezaliman Tun Mahathir semasa berkuasa dahulu.
Kenyataan ini dengan sendirinya mengesahkan lagi bahawa Pas memang mahu menolong BN dan tidak mahu Pakatan Harapan menang dalam pilihanraya akan datang.
Tidakkah Pas sedar kezaliman Tun Mahathir dahulu adalah kezaliman UMNO dan BN, manakala Tun Mahathir kini sudah bersama Pakatan Harapan yang mahu melakukan reformasi institusi dan menyelamatkan negara?
Jika kezaliman Tun Mahathir dahulu yang ditakuti, Pas sepatutnya menolak UMNO dan BN kerana Najib adalah pewarisnya. Dahulu Najib menyokong kezaliman Tun Mahathir, sekarang beliau sendiri mengetuai kezaliman itu.
Maka, Najib jauh lebih wajib untuk ditolak dan ditakuti berbanding Tun Mahathir.
Tun Mahathir sebaliknya sudah meninggalkan kezaliman itu dan mahu berjuang untuk memperbaikinya.
Pilihanraya sudah terlalu dekat tarikhnya. Pas atau Hadi Awang tidak perlu terus berselindung di sebalik serangan kepada DAP atau Tun Mahathir untuk menyatakan sokongan kepada Najib, UMNO dan BN.
Lebih baik saja berterus-terang begini – marilah bersama-sama Pas untuk mengalahkan Pakatan Harapan dan memenangkan BN.
Najib menang, Pas pun senang.
Erghhhhhhh…..ehhh tiba-tiba sendawa pulak!!
– http://shahbudindotcom.blogspot.my
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.