`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 27, 2017

Lelaki China menyamar doktor gigi, dipenjara, denda RM70,000

Menurut hakim, tertuduh merupakan warga asing tidak sepatutnya menjalankan rawatan pergigian tanpa sijil pengakuan daripada KKM.
doktor-gigi-tangkapKUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga China yang menyamar sebagai doktor gigi hari ini dipenjara sebulan dan didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyediakan klinik pergigian tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hakim Harmi Thamri Mohamed @ Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chen Jianghong, 48, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan dengan KKM di sebuah bilik hotel di Wisma Chha Yong Fay, Choon Kuan Pasar Baru pada 10.55 pagi 28 September lepas.
Mahkamah memerintahkan Chen, selaku Orang Kena Saman (OKS), menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 September lepas serta diperintah menjalani hukuman penjara 6 bulan jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Sesyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 5(1)(a)(i) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum 6 tahun atau kedua-duanya.
Ketika membuat keputusan itu, Harmi Thamri berkata kesalahan dilakukan OKS adalah serius kerana dia tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran sebagai doktor pergigian serta membuka klinik tidak berdaftar dengan KKM.
“OKS yang merupakan warga asing tidak sepatutnya menjalankan rawatan pergigian tanpa sijil pengakuan daripada KKM,” kata hakim itu.
Terdahulu, peguam Tan Teck Yew yang mewakili OKS memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya, yang bekerja sebagai pembantu doktor gigi, merupakan penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara ibu bapanya berusia 80 tahun, isteri serta seorang anak berusia 8 tahun yang berada di China.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin dari KKM memohon hukuman setimpal dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam dan keselamatan pesakit.
“Rawatan pergigian hanya boleh dilakukan oleh doktor yang mempunyai pengalaman dan berdaftar dengan KKM dan dalam kes ini OKS bukanlah seorang doktor,” katanya.
Beliau berkata tindakan dilakukan OKS dilihat tidak menghormati sistem perundangan di Malaysia dan sejak akhir ini, kejadian itu semakin menular di negara ini.
Nurul Khairiyah berkata pihak KKM juga telah menyelesaikan beberapa kes serupa di beberapa negeri termasuk Kedah, Pahang dan Johor dan dikenakan hukuman denda antara RM250,000 dan RM300,000 oleh mahkamah.
Berdasarkan fakta kes, OKS ditangkap oleh beberapa pegawai dari KKM ketika menjalankan rawatan pergigian ke atas seorang lelaki di sebuah bilik hotel.
OKS ketika itu dilihat memakai topeng muka dan berdiri di hadapan lelaki yang duduk di atas kerusi sambil sebelah tangan OSK memegang satu alatan pergigian manakala sebelah lagi tangannya berada dalam mulut lelaki berkenaan.
Hasil siasatan mendapati lelaki duduk di atas kerusi itu mendapatkan perkhidmatan pergigian (gigi palsu) daripada OKS dan pemeriksaan dalam bilik itu turut menemui beberapa peralatan pergigian termasuk set gigi akrilik, mickomotor bersama bateri dan ”mouth retractor”.
Hasil semakan dengan Majlis Pergigian Malaysia mengesahkan OKS bukan pengamal pergigian berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia dan semakan dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta juga turut mengesahkan premis itu tidak mempunyai perakuan pendaftaran, perakuan kelulusan dan lesen dengan KKM. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.