`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 12, 2019

SUDAH SAMPAI MASANYA PEGUAM NEGARA WAJIB DITUKAR SEGERA

Setelah hampir sembilan bulan menanti, semalam adalah hari yang mengecewakan bagi rakyat Malaysia apabila perbicaraan melibatkan Najib Razak yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama telah ditangguhkan atas keputusan Mahkamah Rayuan.
Yang menyedihkan ialah keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan itu lebih disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara sendiri.
Ia berkaitan keputusan Pejabat Peguam Negara menambah tiga pertuduhan di saat-saat akhir terhadap Najib dan berkaitan penarikan balik sijil pindah kes yang menjadi asas perpindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Meskipun diketahui sejak awal pasukan peguambela akan berusaha untuk menangguhkan kes, tetapi kesilapan yang dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara yang diketuai oleh Tommy Thomas nyata telah memudahkan lagi rayuan mereka untuk diterima oleh Mahkamah Rayuan.
D samping beberapa kelemahan lain berkaitan pengendalian kes yang melibatkan Najib yang ketara sejak awal lagi seperti kertas pertuduhan tidak dicetak, menyerahkan pendakwaan kes kepada peguam swasta dan sebagainya, kesilapan terbaru ini memang sukar difahami, apalagi untuk dimaafkan.
Ia adalah jelas merupakan kelemahan atau ketidakupayaan Tommy Thomas mengendalikan Pejabat Peguam Negara dengan meyakinkan di bawah jenama Malaysia Baru pasca tumbangnya BN.
Dengan itu, kita bukan saja tidak boleh menjangka bila kes melibatkan Najib dan 1MDB ini akan dibicarakan di mahkamah, bahkan sukar meramalkan bilakah beliau akan dihantar ke penjara.
Ada yang bergurau mengatakan Tommy Thomas rupa-rupanya hanya hebat menari saja berbanding menjalankan tugasnya yang penting itu demi negara.
Yang nyata juga, kesilapan teknikal Tommy Thomas sehingga menyebabkan kes Najib ditangguhkan semalam telah menambah satu lagi kritikan rakyat terhadap beliau yang sebelumnya ramai sudah menahan sabar dengan penarikan balik pendakwaan terhadap Lim Guan Eng dan peguam Siti Kassim di saat-saat akhir.
Baru tidak sampai sembilan menduduki kerusi Peguam Negara, sudah begini jadinya kepada negara kita, bayangkan apa jadi jika sehingga tempoh kontraknya selama dua tahun berakhir nanti?
Tidakkah kegagalan beliau itu menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan PH sendiri?
Sebelum keadaan bertambah parah, sokongan semakin menipis dan rakyat tambah hilang keyakinan kepada kerajaan, kedudukan Tommy Thomas sudah jatuh wajib hukumnya untuk dikaji semua.
Beliau mesti diganti dan ditukar dengan individu lain yang lebih berwibawa, berkelayakan serta mampu mencerminkan hasrat kerajaan menegakkan undang-undang dan keadilan pada tahap yang menggembirakan rakyat jelata.
Lagi pun, Tommy Thomas diperkatakan ramai sebagai tiada pengalaman sama sekali dalam pengendalian kes-kes jenayah di mahkamah sebelum ini.
Itulah sebabnya, selain kes Najib, banyak kes lain yang melibatkan pendakwaan terhadap bekas-bekas pemimpin UMNO telah diserahkan kepada peguam Gopal Sri Ram dan Sulaiman Abdullah dan untuk mengetuai pasukan pendakwaan.
Malah, dalam perbicaraan kes SRC yang ditangguhkan semalam pun, pasukan pendakwaan adalah diketuai oleh peguam jenayah terkenal, V Sithambaram.
Tetapi, dengan Pejabat Peguam Negara sendiri mempunyai ramai Timbalan Pendakwaraya yang berwibawa, menyerahkan banyak kes kepada peguam swasta, meskipun bukan suatu kesalahan, ia menggambarkan  tindakan yang tidak manis dalam keinginan menunjukkan kewibawaan kerajaan yang telah dipilih melalui undi rakyat.
Hanya menukar segera Tommy Thomas dengan individu lain saja yang mampu memulihkan kembali imej kerajaan. Selagi beliau ada, bukan saja pertikaian umum terus menjalar, bahkan dibimbangi prestasi kerajaan akan lebih terperosok jadinya.
Dalam hal ini, kiranya Tun Mahathir tidak cukup keberanian untuk melantik orang Melayu menggantikan Tommy Thomas kerana Bersatu hanya ada 13 kerusi Parlimen saja, barangkali memilih Gopal Sri Ram menjadi Peguam Negara yang baru pun sudah memadai untuk memulihkan semula keyakinan ramai terhadap kerajaan.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com

1 comment:

  1. You are turning into a paid rpk. So you have a better AG in mind?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.