`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 10, 2019

Guan Eng, Leiking tipu berhubung biaya kereta nasional ke-3, kata Wee

Presiden MCA Wee Ka Siong.
PETALING JAYA: Presiden MCA Wee Ka Siong menyelar kenyataan Lim Guan Eng dan Darell Leiking berhubung pembiayaan projek kereta nasional ke-3.
Ia selepas DreamEDGE Sdn Bhd, syarikat yang mengepalai projek itu, mengesahkan terdapat pelaburan daripada kerajaan dalam syarikat tersebut.
Lim, yang merupakan menteri kewangan sebelum ini berkata tidak ada dana awam akan digunakan untuk projek tersebut manakala Leiking, menteri perdagangan antarabangsa dan industri, semalam berkata syarikat yang dianugerahkan projek kereta nasional ke-3 adalah 100% milik swasta.
“Adalah mengecewakan untuk melihat menteri-menteri ini yang membuat dakwaan dan janji palsu dan enggan memberi komen dan membiarkan syarikat yang diberi projek tersebut mengeluarkan kenyataan,” kata Wee kepada FMT.
“Kami tidak mempersoalkan syarikat anda dan kami mengucapkan selamat berjaya kepada anda.
“Tetapi kita mempersoalkan janji yang dibuat oleh Lim Guan Eng,” katanya.
Malam tadi, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan menolak dakwaan Wee bahawa kerajaan persekutuan merupakan pemegang saham terbesar dalam DreamEDGE melalui syarikat bernama VentureTECH Sdn Bhd, yang dikatakan 100% dimiliki Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Tekologi Tinggi (Might).
“Might pula dimiliki 100% milik kerajaan Malaysia,” kata Wee di Facebook.
Memetik fakta bahawa modal berbayar DreamEDGE adalah sebanyak RM12.4 juta sehingga 2018 dan mengalami kerugian pada tahun lepas, Wee menyuarakan keraguannya sama ada syarikat berpangkalan di Cyberjaya itu mempunyai kekuatan kewangan untuk membiayai pelaburan besar dalam projek kereta nasional ke-3 itu.
“Berbilion ringgit akan diperlukan. Syarikat itu pasti memerlukan suntikan dana yang besar. Saya pasti suntikan dana ini akan datang daripada pemilik saham terbesar syarikat itu, iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PH).”
Khairil berkata VentureTECH, dahulunya dikenali sebagai A-Bio Sdn Bhd, hanya mempunyai pegangan 10% daripada DreamEDGE. Ini berlaku sejak 2017, sambil menambah ia tidak mempunyai wakil lembaga yang dilantik.
“150 rakyat Malaysia yang bekerja di DreamEDGE mempunyai tugas besar di hadapan.
“Tolong jangan musnahkan kerja keras kami dengan mempolitikkan isu ini berdasarkan maklumat yang tidak lengkap,” katanya kepada Wee dalam satu kenyataan.
Wee berkata dakwaan Khairil bahawa dokumen terkini SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) menunjukkan pemilikan sahamnya tidak tepat dan kerajaan tidak memiliki 53% syarikatnya tetapi hanya mempunyai 10% sahaja dengan pelaburan seterusnya menjadi saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS).
Wee berkata sama ada kerajaan memiliki 53% atau 10% saham dalam syarikat itu bukanlah isu.
Isu utama di sini adalah para menteri berbohong kepada orang ramai apabila mereka berjanji tiada dana awam akan digunakan dan mendakwa syarikat itu 100% milik swasta,” katanya.
Wee juga berkata Khairil tidak mendedahkan nisbah penukaran bagi RCPS kepada saham biasa.
“Nisbah penukaran adalah penting kerana ia bermakna kerajaan akhirnya boleh memiliki lebih 53% saham syarikat,” katanya.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menggesa kerajaan telus dan berkata berapa banyak jumlah yang dilaburkan di DreamEDGE setakat ini dan apakah jumlah peratusan pemilikan bagi kerajaan jika RCPS ditukar sepenuhnya.
“Darell juga berkata syarikat itu layak memohon geran kerajaan,” tambah Wee.
“Oleh itu, kerajaan, dan bukan syarikat, harus memberitahu kita berapa banyak geran kerajaan akan diberikan kepada syarikat untuk projek ini.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.