`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 17, 2022

Alahai YB alahai…

 

“Preeeeeettt!”

Seperti tiupan wisel penamat pengadil bola sepak walaupun sudah lama dijangka tetapi rasa kelam-kabut tetap menyerang. Itulah yang berlaku apabila perdana menteri mengumumkan Parlimen dibubar pada 10 Okt tempoh hari. Maka kalutlah orang parti terutama wakil rakyat yang automatik terlucut gelaran untuk penggal ini. Bermacam kisah lucu oleh teman-teman mula sampai ke telinga saya perihal gelagat pihak yang berasa mereka sangat berpotensi untuk dicalonkan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sebenarnya strategi melobi diri untuk dicalonkan bertanding sudah pun bermula dua tahun lalu. Mereka ini setelah diyakini oleh pengikut masing-masing mula mengatur rancangan berbaik-baik dengan presiden parti, setiausaha agung, pengarah pilihan raya mahupun siapa-siapa di atas yang mempunyai kabel kuat dalam menentukan siapa yang boleh atau siapa yang tak boleh menjadi calon. Mulalah mereka hadir ke acara-acara yang melibatkan bos mereka. Paling penting mesti ‘masuk bingkai’ (enter frame) ketika bergambar supaya dilihat rapat dengan presiden. Apa sahaja majlis waima kenduri bercukur pun jika presiden hadir mereka mesti ada. Ke program yang mereka tidak minat pun mereka akan hadir tunjuk muka walaupun selama ini kelibat cukup sukar dilihat.

“Kau tahu penggal lepas ada mamat yang walaupun tengah sakit teruk sanggup keluar hospital pergi pejabat parti untuk ambil watikah? Punyalah teringin nak jadi YB!” Cerita kawan saya sambil ketawa besar. Kawan saya ini berperanan penting juga di belakang tabir sebuah parti politik. Banyak cerita belakang langsir saya dapat tahu daripadanya.

“Bayangkan bagaimana orang yang sakit teruk pun masih ada hasrat nak bergelar Yang Berhormat? Nanti masuk sebulan dua tak pasal-pasal kita ada pilihan raya kecil pula nanti di kawasan dia sebab meninggal dunia. Kan itu semua ada berlaku sebelum ini?” tambah kawan saya lagi.

Itu satu cerita di antara banyak kisah yang saya dengar tentang watak-watak mereka yang teringin hendak bergelar Yang Berhormat.

“Bukan nak menghina, yang masih keliru mana istilah MP mana istilah ADUN pun berhajat nak bertanding tau?”

“Biar betul?” tanya saya tak sangka takkanlah sampai begitu. Kawan saya ketawa sambil mengangguk-angguk kepala.

Paling nakal, menurut kawan saya ini, ialah presiden parti politik itu sendiri. Gurauan dan sindirannya juga boleh menyebabkan calon penyandang yang bergelar YB berasa semput dan tak sedap duduk.

“Haa…nampaknya YB Anu ADUN Sinun dah boleh berehat dan bagilah calon baharu duduk sana pula, kan?” cerita seorang lagi kawan saya.

Kawan saya ini seorang wakil rakyat boleh menarik nafas lega kerana berasa kedudukannya masih selamat disebabkan hubungan baik dengan pucuk pimpinan parti. Dia menyebut beberapa nama YB yang disakat presiden sebegitu.

“Boleh nampak betapa gelabahnya mereka. Itulah siapa suruh sebelum ini bukan main sedap hentam presiden sebab dia rasa dia berada di kem kuat. Sekarang mulalah panas punggung,” ujar kawan saya si YB ini.

Presiden sama ada berseloroh atau benar-benar serius boleh membuat mereka ini pucat dengan jenaka-jenaka perli. Sakat-menyakat begini boleh buat selera makan YB-YB ini terbantut berhari-hari. Maklumlah sudah sedap sepenggal (atau lebih) dipanggil orang sebagai Yang Berhormat, dah seronok diraikan di majlis rasmi atau juga di pesta keramaian, dihormati, tiba-tiba hilang keistimewaan apa nak buat? Bukan mereka tak tahu sepak terajang politik bila duduk di puncak ramailah datang berkerumun tapi bila dah tak ada apa-apa lalat pun tak sudi hinggap.

Analisis keputusan pilihan raya juga membuktikan kemenangan seseorang calon itu kadang-kadang bukan disebabkan sokongan padu majoriti pengundi kawasan tersebut tetapi berlakunya sabotaj dalaman. Ahli parti sendiri yang menolak calon tersebut kerana tidak berpuas hati dengan pimpinan. Ada bakal calon yang sudah buat kerja di kawasan cukup lama sehingga dikenali masyarakat setempat tapi di saat akhir disingkirkan kerana kabel ‘calon payung terjun’ lebih kuat dengan pucuk pimpinan. Calon payung terjun ini tanpa bersusah-payah terus sahaja mendapat wahyu bertanding di kawasan tersebut yang tak pernah pun dia turun. Akibatnya berlakulah protes dalaman. Ini kenyataan yang benar-benar berlaku tak boleh disangkal. Itu kalau kalah. Kalau nasib baik dia menang, untunglah. Yang melopong mereka yang kuat bekerja tetapi kabel tak cukup kuat.

Bagi presiden sebuah parti politik dan pucuk pimpinan juga kerja memilih calon bukan perkara enteng. Banyak sudut perlu diambil kira. Rekod kesetiaan kepada parti juga mesti diperiksa apakah calon-calon ini boleh dipercayai atau berpotensi untuk menikam dari belakang ketika keadaan luar jangka berlaku. Presiden kena memikirkan dari segenap sudut. Sokongan parti-parti sekutu, imej di mata rakyat, survival diri sendiri mesti ada dalam percaturan. Saya percaya tekanan dari berbagai arah cukup kuat. Orang-orang di bawah hanya tahu merengek tapi segala beban tertanggung di kepala presiden. Berjaya atau jatuh, presidenlah nak kena fikir! Aduhai presiden, aduhai!

Oleh kerana hal-hal yang diceritakan di atas masih berlaku dan akan terus berlaku maka hari-hari Parlimen dibubarkan ini merupakan hari-hari getir lagi genting bagi masa depan kerjaya politik mereka. Menunggu senarai calon yang layak bertanding mewakili parti untuk PRU15 ibarat suatu perjudian. Penuh debar dan ‘suspen’. Terpilihkah atau tersingkirkah aku?

Inilah budaya politik kita yang masih terus diamalkan turun-temurun. Istilah perjuangan bagi mereka mestilah kena ada jawatan. Tanpa jawatan bermaksud tiada pengaruh. Tiada pengaruh bermakna berakhirlah kerjaya. Berbagai cara mesti dilakukan untuk naik. Dalam kamus politik tiada erti persahabatan sejati. Tiada juga istilah musuh abadi. Yang penting, diri sendiri mesti naik dahulu. Kalau boleh bekerjasama dengan musuh supaya kawan tidak naik, itu ‘halal’. Tiada masalah! Idealisme, gagasan, wawasan semua itu hanya ketika berucap di podium. Ketika suis mikrofon ditutup, perjuangan sebenar ialah menyelamatkan kerusi sendiri.

Kepada yang dicalonkan semula tahniah diucapkan. Kepada yang pertama kali namanya naik, semoga berjaya. Untuk yang digugurkan, jangan sedih, pencen ada.

Kawan saya si YB yang dijangka bakal dicalonkan semula itu menyambung lagi, “Ada yang di depan kita mengutuk presiden dan parti punyalah lantang tapi belakang kita diam-diam tulis surat kepada presiden, minta nak jadi calon. Kah! Kah! Kah!”

Macam itu memang ada, kita tak hairan. Alahai YB alahai! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.