`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 31, 2022

Sifir politik ‘orang kita’

 

Bapa saudara saya, seorang guru pencen sering setiap pagi melepak di sebuah warung kopi di pinggir pekan. Semenjak bersara, dia memilih untuk bermastautin di kampung mengerjakan tanah pusaka dengan berkebun sikit-sikit sekadar mengeluarkan peluh, katanya. Tapi seawal pagi rutinnya memang begitu, selepas solat Subuh di surau, dia akan melepak di warung kopi dan bersedia menanti siapa sahaja yang mahu berbincang kalau pun tak berdebat dengannya soal politik, tajuk yang sentiasa merangsangnya untuk bersuara.

Sesiapa sahaja yang ingin berdialog dengannya amat dialu-alukan. Sementelah, dia bekas cikgu. Kata-katanya sangat berpengaruh.

“Berpolitik hanyalah sewaktu menuju pilihan raya umum sahaja. Sebaik sahaja selesai pilihan raya, kita wajib berhenti berpolitik. Siapa sahaja yang menang dan membentuk kerajaan haruslah kita sokong,” kata dia.

“Tak betul tu, cikgu. Kita perlu ada pembangkang untuk semak dan imbang barulah kerajaan terkawal,” sanggah Ujang, anak muda 30-an yang mendapat berbagai sumber maklumat media.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Itulah kau dan penyokong pembangkang itu sendiri pun keliru. Pihak pembangkang di dalam Dewan Rakyat itu sendiri anggota kerajaan. Kerajaan bermaksud parti pemerintah, pembangkang, dan kita semua rakyat jelata. Sama-sama menyumbang memajukan negara. Tak boleh salah satu daripadanya tak ada. Bukankah ke semua mereka dapat gaji? Bermakna barisan pemerintah dan barisan pembangkang itu sendiri sama berperanan di dalam dewan menentukan dasar dan hala tuju negara. Tapi disebabkan berpolitik, itulah yang buat mereka sendiri gagal hadam. Diasing-asingkan, dibezakan!” jawab Cikgu Fadli ketawa sambil menggeleng.

“Apa yang geli hati sangat tu, cikgu?” tanya Ujang.

“Sebab aku teringat kata seorang menteri dulu kepada pihak pembangkang. Kamu punyai idea tapi sayang kamu bukan kerajaan. Kami yang jadi kerajaan. Tak kelakar ke?” jawab Cikgu Fadli sambil meneguk teh tarik.

Ujang tersengih. Ujang menyatakan jika kebanyakan ‘orang kita’ berfikiran seperti Cikgu Fadli tentulah tidak susah tetapi ‘orang kita’ tidak begitu. Mudah sangat dibeli undi mereka dengan duit kopi. Takut untuk melakukan perubahan.

“Sekali lagi kau silap, Ujang.” bantah Cikgu Fadli. “Siapa kata orang kita perlahan nak berubah? Orang kitalah paling cepat buat perubahan!”

“Pulak! Biar betul cikgu?” soal Ujang. Pelik dia sebab selama ini memang dilihat orang Melayu terutama di kampung memang totok menyokong kerajaan Umno-Barisan Nasional. Jangan harap nak sokong parti lain. Biar susah namun untuk pangkah selain dacing tidak sesekali. Alih-alih Cikgu Fadli beri jawaban sebaliknya pula. Ujang tidak boleh terima.

Tidak payah pergi jauh melihat sejarah, kata Cikgu Fadli. Cukup kita lihat pada 1990 dahulu. Orang Kelantan majoritinya Melayu menumbangkan kerajaan BN dan memilih PAS sehinggalah sekarang. Pernah pada 2004, Dewan Undangan Negeri Kelantan hanya berbeza satu kerusi sahaja di antara Umno dan PAS tetapi penggal seterusnya mereka tolak semula Umno besar-besaran. Apa akan jadi selepas ini kita belum tahu. Silap-silap orang Melayu di Kelantan tukar pulak, buang PAS. Kita tak boleh jangka. Lihat juga Terengganu atau Kedah, dua negeri majoriti Melayu sepanjang tiga-empat penggal ini berani tukar-tukar kerajaan. Johor, Melaka, Negeri Sembilan pun tidak terkecuali buat perubahan juga.

“Macam mana kau kata orang kita takut nak berubah?” tempelak Cikgu Fadli. “Ketika Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri pada 1998 dan gelombang reformasi bergema, bukankah orang kita yang paling ke depan?”

Ujang terpempan. Era reformasi dia baharu tamat Tingkatan 5. Dia hanya melihat kebangkitan orang Melayu pada perhimpunan Bersih sebelum PRU 2008 tetapi kemudian sokongan orang Melayu menyusut selepas siri Bersih 2, Bersih 3, dan Bersih 4.

“Itu kerana sudah habis kemuncaknya. Kebangkitan itu sudah berhenti di puncak. Kau hanya nampak kebangkitan orang Cina dan India pada waktu itu, hakikatnya sepuluh tahun sebelum itu gelombang menuntut perubahan dibentuk lebih awal oleh orang Melayu yang kau fikir takut hendak berubah,” kata Cikgu Fadli. Ujang tidak menyanggah fakta tersebut. Cikgu Fadli memang rasional, pandangannya tidak menurut mana-mana fahaman politik kepartian.

“Baiklah, pandangan yang adil bagi saya tapi itu tak boleh menafikan yang memang orang kita terutamanya di kampung terlalu mudah ditipu oleh pemerintah dengan gula-gula,” kata Ujang.

“Atau boleh juga kita kata yang orang bandar terlalu mudah diperdaya oleh dakyah pembangkang? Begitu?” soal balik Cikgu Fadli. Dia memesan segelas lagi teh tarik.

“Politikus dari bandar datang berkempen ke kampung waktu hendak pilihan raya sahaja. Sebelum itu mereka di mana? Kalau kalah mereka pun hilang untuk lima tahun lagi. Mereka orang luar. Tak kenal orang kampung, tak faham apa yang orang kampung nak. Kau kata orang kampung sibuk dengan soal jalan raya dan jambatan sahaja, tak fikir fasal rasuah.

“Orang kampung pula kata kau sibuk dengan rasuah sahaja tapi mengelak untuk menetap di kampung dan membantu memajukan kampung. Kau kalau menang jadi YB di kampung ni kau tetap duduk bandar. Kampung ni kau letakkan pegawai khas kau je. Apa cerita? Apa kalau pembangkang naik, tak ada rasuah? Tak ada kronisme?” Soal Cikgu Fadli sambil mengetuk-ngetuk meja dengan jari telunjuknya. Terbakar dada Ujang melihatnya.

“Beginilah,” kata Cikgu Fadli. “Dipendekkan cerita, segala tuduhan menyatakan orang kita lambat berubah, orang kampung mudah dibeli hanyalah tuduhan selapis yang kau tidak pernah mahu lihat dan faham sebaliknya. Memang kau akan rasa apa yang aku cakap ini menyakitkan hati tapi pertimbangan politik orang kita ada sifirnya. Sifir ini yang dengan angkuhnya tidak mahu difahami oleh orang yang macam kau.”

“Pulak. Orang macam saya pula!” sungut Ujang.

“Panjang kalau kita nak jelaskan tentang ‘psyche’ orang kita. Kalau nak kata orang kita ‘racist’, kita boleh rujuk sejarah sejak dahulu orang kita sikapnya mudah menerima sesiapa sahaja. Tauke Cina seorang sahaja di kampung Melayu buka kedai runcit, orang kampung pergi beli. Tak ada masalah. Itu contoh paling dekatlah. Isu perkauman ini sebenarnya hampir tidak wujud tetapi politikus yang membakar dan memainkannya. Bila aku cakap politikus bermaksud bukan parti A sahaja yang main, parti B, C, atau D pun guna isu perkauman sebagai jarum mencucuk perpaduan. Sama sahaja. Tapi yang paling penting apa kita nak buat? Kita perlu fikirkan nasib kita di kawasan kita.”

“Kesimpulannya, jika engkau bertanya kenapa orang kampung susah nak berubah dan mudah dibeli, kau jawab dahulu kenapa orang bandar berasa dirinya lebih pandai jika bersama pembangkang? Jika kau fikir kami tidak nampak apa yang kau nampak, kami juga mengatakan kau angkuh sengaja tak nampak apa yang kami nampak. Itu sifirnya, selebihnya kau fikirkan.”

Saya yang sejak dari awal tidak mahu mengganggu perbualan bapa saudara saya dengan Ujang itu agak tersentak juga. Seperti Ujang saya juga selalu mempersoalkan pihak lain tetapi jarang merenung persoalan yang pihak lain timbulkan terhadap saya. Ujang saya lihat hanya diam. Barangkali dia malas hendak meneruskan perbualan. Bukan tidak mahu, bukan tidak tahu hendak menangkis tetapi mungkin memilih untuk melihat dahulu saranan Cikgu Fadli yang tidak boleh dipandang sepi begitu sahaja.

Itu sifir politik yang diberi oleh Cikgu Fadli sama ada kita suka atau tidak, telah lama membudaya. Mempersoalkan pihak lain tetapi jarang merenung persoalan yang pihak lain timbulkan terhadap diri sendiri. Hendak berniaga mesti menunjukkan kualiti barang jualan kita, bukannya mencerca produk pihak lain.

Seperti selalu, Cikgu Fadli akan ketawa mesra seperti biasa selepas bersilat dan berhujah. Dia rasional. Kita kalau tak rasional seperti dia akan berasa pedih membekas. Dia tidak. Dia akan terus bercakap begitu selalu. Tentang sifir politik orang kita! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.