Memandangkan PRU-15 semakin hampir dalam tempoh kurang daripada sebulan, kita mesti berazam untuk memilih pemimpin yang bukan sahaja bebas daripada kegiatan rasuah, tetapi yang akan membantu untuk menghapuskan semua unsur kleptokrat yang menjangkiti kerajaan di semua peringkat dengan penyakit ini.
Istilah kleptokrasi sangat penting untuk memahami perbezaan antara negara yang hanya dipengaruhi oleh rasuah, daripada negara yang dikuasai oleh rasuah. Istilah negara kleptokratis merujuk kepada negara yang dikuasai ‘maling’ atau pencuri harta rakyat.
Sebuah kleptokrasi merupakan pemerintahan oleh pencuri yang menyamar sebagai pegawai negara yang jujur. Ciri utama kleptokrasi adalah ia sejenis ‘jenayah negara’. Seorang kleptokrat merupakan pegawai negara yang mencuri daripada dana dan sumber negara melalui kegiatan rasuah. Rasuah ditakrif sebagai pencurian melalui penipuan terhadap badan pemerintah, syarikat swasta, ataupun orang awam dan terdiri daripada tiga komponen, iaitu, penyuapan, pemerasan, dan nepotisme.
Penghubung bagi tiga jenis rasuah ini, adalah, penempatan kepentingan masyarakat umum di bawah kepentingan peribadi serta pengkhianatan kepercayaan.
Menurut Syed Hussein Alatas dalam buku beliau bertajuk “Korupsi: Sifat, Sebab dan Fungsi”, ciri rasuah yang penting adalah dwifungsi pada mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah. Contohnya, ketika seorang pegawai disuap oleh pihak yang menawarkan pemberian supaya mengeluarkan lesen perniagaan, perbuatan mengeluarkan lesen itu merupakan fungsi, baik pun daripada segi jawatannya mahupun daripada segi kepentingan peribadinya. Rasuah terdapat di semua negara, tetapi bukan semua negara yang dikuasai oleh daya rasuah. Negara yang dikuasai rasuah dapat digelar sebagai kleptokrasi atau pemerintahan oleh maling.
Istilah kleptokrasi berasal daripada dua perkataan, iaitu, “klepto” (mencuri) dan “krasi” (pemerintahan). Negara seumpama ini dikuasai oleh para kleptokrat yang melibatkan diri dalam amalan rasuah sebagai cara pengumpulan modal yang utama. Kleptokrat-kleptokrat yang utama tidak terdiri daripada pekerja perkhidmatan awam yang memeras atau menerima suapan untuk membiayai hidup mereka, tetapi daripada elit-elit politik dan birokrasi yang menggunakan rasuah sebagai cara mengumpulkan modal, memajukan kepentingan ekonomi peribadi, dan memperkayakan diri sendiri.
Ciri-ciri negara kleptokratis
Penerimaan lesen-lesen, francais, insentif, dan konsesi cukai dimudahkan melalui hubungan penaung dan yang dinaungi dan seringkali juga melibatkan nepotisme. Sebuah kleptokrasi itu dikuasai oleh pegawai negara dan ahli politik yang amat egoistik. Tujuan mereka melakukan rasuah bukan untuk membantu kaum keluarga dan sahabat disebabkan oleh perasaan kewajipan moral dan timbal-balik, tetapi oleh ketamakan yang berlebihan.
Tekanan untuk membantu kaum keluarga seringkali didorong oleh kepatuhan kepada apa yang difahami sebagai norma masyarakat. Menurut teori kebudayaan rasuah, amalan rasuah itu selaras dengan nilai tradisional, apabila orang tua membantu anggota keluarga yang muda. Kita menolak teori ini kerana norma masyarakat kita, walaupun menggalakkan pembantuan sesama keluarga, tidak pada waktu yang sama mendorong kegiatan jenayah. Sebenarnya, rasuah dalam konteks kleptokrasi berasaskan kepada keinginan untuk keuntungan peribadi. Seorang kleptokrat mempunyai perwatakan egoistik.
Pelbagai perkara dianggap ciri negara kleptokratis termasuk:
- ia sejenis jenayah negara;
- hubungan rasuah antara ahli politik dan birokrat pada satu pihak, dengan ahli kelas pemodal pada pihak lain;
- rasuah merupakan salah satu alat pengumpulan modal yang utama dan dapat dianggap faktor pengeluaran dalam bidang ekonomi;
- ia berasas kepada peranan dwifungsi negara dalam proses pembangunan;
- ia berdasarkan kepada permintaan dan penawaran pertolongan;
- kleptokrasi adalah transistemik, iaitu, terdapat di kedua-dua negara demokratis dan autoriter;
- dalam sebuah negara kleptokratis, kebanyakan pegawai negara terlibat dalam rasuah, sekurang-kurangnya secara berskala kecil, supaya status quo dapat dikekalkan. Pertikaian dan pertentangan daripada dalam negara dielakkan;
- negara kleptokratis itu merupakan oligarki, iaitu, negara itu dikuasai oleh segolongan kleptokrat egoistik yang kecil.
Bahaya rasuah
Oleh kerana negara memain peranan yang amat penting, khususnya di negeri-negeri membangun, negara kleptokrasi dapat membawa kesan yang amat buruk terhadap ekonomi, termasuk kehilangan pendapatan pemerintah, kekurangan kecekapan, herotan dasar-dasar kerajaan, dan penumpuan modal.
Ada yang berhujah rasuah dapat menambahkan kecekapan kerana pekerja yang menerima wang segera akan menjadi lebih produktif tanpa tambahan gaji. Pemerhatian ini kurang tepat kerana wang segera biasanya tidak membeli kecekapan, tetapi hanya suatu perkhidmatan yang tidak akan diberi tanpa insentif kewangan itu.
Pemerintahan kleptokratik juga menyebabkan penyimpangan dasar-dasar kerajaan. Sesuatu dasar yang bertujuan memanfaatkan segolongan tertentu dalam masyarakat akhirnya dimanfaatkan golongan-golongan lain.
Contohnya, di sebuah negara di Asia Tenggara beberapa tahun yang lalu, pemerintah memperuntukkan ribuan ekar untuk sebuah syarikat besar sedangkan tanah itu dikhaskan untuk ribuan keluarga.
Rasuah juga mengakibatkan penumpuan modal. Rasuah dan, khususnya, nepotisme memain peranan yang penting dalam penumpuan modal. Ini merujuk kepada sejauh mana segolongan kecil syarikat menguasai industrinya daripada segi jumlah pengeluaran dan guna tenaga.
Contohnya, kadar penumpuan modal dianggap agak tinggi jika 75% daripada guna tenaga dalam industri dalam lima syarikat terbesar.
Negara kleptokratis amat berbahaya. Kesedaran tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pembangunan ekonomi dan politik seharusnya dipertingkatkan sehingga muncul gerakan sosial menentang kleptokrasi.
Malangnya, selain segolongan kecil sarjana seperti Syed Hussein Alatas, Peter Evans, dan Bjorn Beckman yang mengambil perhatian tentang dimensi rasuah dalam pengkajian negara, masih ada kekurangan usaha mendidik rakyat tentang bahaya fenomena negara kleptokratis.
Izinkan saya menamatkan makalah ini dengan beberapa petikan daripada Qasidah Anti-Korupsi yang dikarang di Indonesia. Saya rasa ada beberapa ajaran bagi warga Malaysia yang dapat diperolehi daripada sikap anti rasuah dari seberang.
Islam agama yang bersih lagi suci,
Umatnya dilarang berbuat mencuri,
Apalagi korupsi, lebih jahat lagi,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Bagaimana Indonesia diberkahi,
Kalau pejabatnya banyak yang korupsi,
Memberantasnya pun hanya pilih-pilih,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Negeri RI bangkrut bukan sebab subsidi,
Bukan juga karena luasnya negeri,
Tapi negeri bangkrut lantaran korupsi,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Rakyat banyak melarat akibat korupsi,
Sekolah jadi mahal akibat korupsi,
Rumah sakit antri akibat korupsi,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Ma‘siat merajalela akibat korupsi,
Preman di mana-mana akibat korupsi,
Rakyat diadu domba akibat korupsi,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Miskin makin miskin akibat korupsi,
Bangkrut makin bangkrut akibat korupsi,
Rusak makin rusak akibat korupsi,
Jika kita benar-benar menyayangi negara, jangan kita memberi kesempatan untuk kleptokrat dan maling memerintah. Mari kita memperalatkan undi kita untuk memajukan kepentingan rakyat dan bukan kepentingan segolongan kecil. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.