`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 21, 2022

Budak TVET balik mengundi

 

Bibah budak TVET, asal Pontian. Kalau dulu-dulu orang kampung panggil ‘budak sekolah vokasional’. Orang pandang mereka macam budak-budak tidak pandai. Dia bercinta dengan Jason. Orang Iban, kacukan Cina. Lawa budak Jason itu. Dia pun budak TVET. Bibah budak “baking”, pandai buat kek dan pastri. Sedap kuih tart Bibah. Jason budak kimpal besi, hal-hal pilin besi dalam air; dia nombor satu di Port Dickson.

Jason datang dari Sri Aman, Sarawak sebab sana tiada kerja. Sana tiada peluang kerja. Terpaksa dia berhijrah ke negeri lain. Tapi kalau tidak kerana datang Semenanjung, tak adalah pula Jason terpautkan Bibah. Dah nak jodoh.

Mak si Bibah selalu pandang hina Jason. Anak Dayak kata mak si Bibah. Kasihan Bibah. Cinta sungguh hati. Dia hendak kahwin dengan Jason. Baik budak Jason itu. Bahkan Jason sudah sunat anunya walaupun belum disuruh. Sudah belajar Iqra’ mengaji sedikit-sedikit sebab sukakan Bibah. Mak si Bibah panggil Jason ‘budak TVET’. Bibah pujuk bakal suaminya, “Abaikan mak tu, B.”

Mak si Bibah macam dalam filem P Ramlee, “Aku mahu doktor, wartawan tivi Astro Awani, loyar syarie, paling-paling penguatkuasa agama. Bukan budak TVET.”

Bibah jawab emaknya menggeletar nak marah, “Apa salah budak TVET? Ada macam-macam pesen kerja sekarang ini.”

Mak si Bibah bandingkan dia dengan Senah, kakak tengahnya; dan Badin abang sulungnya. Senah jurutera lulusan UKM, tapi lambat dapat kerja. Sekarang baru masuk kerja di kilang milik syarikat China, dapat gaji dalam dua ribu lebih sedikit. Padahal ada “degree”. Dua ribu lebih dapat makan apa. Senah asyik fikir nak pindah Singapura. Abang Badin pula doktor perubatan, pun kisahnya lebih kurang sama. Gaji tak banyak mana, ditempatkan di Hospital Kajang.

Sebenarnya yang banyak duit Bibah dan Jason. Bibah kalau “baking” beria-ia boleh dapat lima enam ribu sebulan. Jason musim sedang banyak besi hendak dikimpal boleh sampai lapan sembilan ribu sebulan. Senah dan Badin tahu adik bongsu mereka paling senang. Tapi itulah, emak si Bibah.

TVET ini tuan-tuan merujuk kepada semua bentuk dan tahap pendidikan atau latihan yang menyediakan kemahiran dan ilmu berkaitan pekerjaan di pelbagai sektor ekonomi dan sosial menerusi cara formal mahupun tidak formal, sama ada di sekolah mahupun di tempat kerja, mengikut konteksnya. Senang cerita TVET ini budak vokasional. Macam Bibah atau Jason. Kerja tukang kayu. Kerja jahit menjahit. Kerja menukang-nukang, kerja pendawaian, dan pewayaran elektrik. Kerja jadi mekanik kereta. Kerja berkebun tanam maman.

Emak si Bibah tidak tahu. Di bandar-bandar besar, budak TVET banyak betul duit, kembung poket mereka; dan lumayan sekali. Meskipun kerja ada penat sedikit. Tetapi apa kerja yang tidak penat?

Sebetulnya Bibah hanya mahu pengiktirafan tersusun. Bukan penghinaan. Jason mahukan kawan-kawannya yang juga anak TVET diberi latihan lebih rapi. Kerajaan sekarang tidak buat apa. Ahli politik tak ada idea. Bankrap wawasan dan gagasan. Sakau duit pandai. Pelan ekonomi habuk tiada. Bibah duduk di KL rasa dicekik inflasi.

Bukan sahaja tak reti urus ekonomi, kata Jason ada ke beli kapal harga 6 bilion tapi tidak tiba-tiba. Kalau pasal sekolah dan universiti, tak ada pelan pendidikan. Kakak Bibah si Senah beritahu, menteri reti TikTok sahaja. Menari-nari. Gedik-gedik. Retis-retis. Mak si Bibah mana tahu semua ini?

Waktu Bibah keluar minum dengan Jason dia ternampak ada seorang orang politik keluar tivi. Nama dia macam Howard Lee, tak silap. Orang Pasir Pinji. Howard menerangkan tentang usaha dia supaya TVET diiktiraf secara bermaruah. Macam mana?

Begini, di luar negara budak TVET ini boleh dapat “degree”, macam budak-budak universiti juga. Macam Senah dan Badin. Tapi bukan macam kerajaan buat Universiti Vokasional atau kampus TVET sebuah, bukan. Bukan macam itu. Kadang ada kampus menyusahkan juga. Pensyarah banyak politik. rasuah pun pandai pensyarah-pensyarah ini.

Yang Howard saran ‘belajar dan bekerja’. Maknanya pelajar TVET sudah ada penempatan kerja, baru kemudian diberi sijil. Bukannya pergi belajar, dapat sijil, dan belum tentu minat sangat, baru terhegeh-hegeh mencari kerja.

Katakan Bibah, dia pergi belajar buat kek lapis Sarawak daripada seorang “baker” terkenal (yang diberi hak mengajar atau menilai oleh kerajaan). Selepas satu tempoh memuaskan dia dapat sekeping sijil tahap satu. Kemudian Bibah berpindah bekerja di sebuah kedai buat kek butterscotch. Kedai itu ada pengiktirafan kerajaan dan tuan punya boleh mengajar atau menilai. Lama kelamaan Bibah pun pandai, dia dapat sijil tahap kedua. Bibah belajar pula daripada seorang janda yang sudah biasa buat roti croissant Perancis. Dia ini pun punyai status penilai atau pemeriksa. Dapatlah sijil tahap ketiga. Cukup beberapa tahap dan sijil, ia digabungkan dan diiktiraf sebagai Ijazah Sarjana Muda Bakeri dan Pastri.

Nanti kerajaan akan memikirkan secara lebih munasabah kaedahnya menerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk merealisasikan pelan ini. Biar mereka tolong fikir. Menangis Bibah teresak-esak depan tivi mendengar hujah-hujah Howard. Terhenjut-henjut bahu. Panik pula sekejap Jason sebab orang keliling di kafe itu pakat tenung.

Begitulah patutnya TVET dilayan dalam pendidikan. Maka tidaklah budak TVET dipandang hina macam orang tidak sekolah. Padahal doktor manusia atau haiwan, jurutera lulusan UKM atau UM, wartawan Astro atau tidak Astro, polis siasatan jenayah atau trafik; semualah akan sudahnya beli kek dan makan. Jadi dalam kitaran hidup, Bibah tetap orang yang menang. Mengapa Bibah budak TVET tidak diiktiraf? Kenapa selama ini Jason budak TVET tidak diiktiraf?

Sebab ahli politik sekadar pandai ‘jual’ kaum dan agama, mereka tiada idea. Orang macam mak si Bibah pergi percaya. Budak TVET kini terpaksa ke luar negeri atau negara mencari kerja. Sudahnya negara lain yang maju. Ramai budak TVET bekerja di Singapura. Memang lumayan.

Tup-tup PM bubar Dewan Rakyat. Padahal sekarang musim hujan. Bibah naik seronok. Lekas-lekas dia beritahu Jason.

“B, kita mestilah balik mengundi. Mesti balik menunaikan hak dan tanggungjawab kita. Kalau kita sekadar merungut-rungut tak jadi apa.”

Jason beritahu Bibah, “Tapi sayang mak bapak kita…”

Kata Bibah, “B, peduli apa dengan orang tua kita. Kita ada lima enam puluh tahun lagi hendak hidup. Kita mesti menentukan masa depan negara.”

Bibah pandang Jason. dan Jason pandang Bibah. “I love you, my Iban,” ujar Bibah kepada Jason sepenuh hati.

Mereka tekad pulang mengundi. Demi TVET. Demi Malaysia. Bibah senyum. Satu undi. Satu untuk merubah negara dan nasib sendiri. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.