`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 21, 2022

PH perlu pandangan ekonomi koheren untuk menang PRU15, kata Chin Tong

 

Liew Chin Tong berkata, kunci utama untuk menarik pengundi atas pagar, khasnya golongan muda adalah membuktikan Malaysia akan menjadi lebih baik kelak di bawah kerajaan baharu.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu tampil dengan pandangan ekonomi yang koheren untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sekiranya mahu merampas semua Putrajaya dan mentadbir negara dengan baik, kata pakar strategi DAP, Liew Chin Tong.

Liew berkata, kunci utama untuk menarik pengundi atas pagar, terutamanya golongan muda adalah membuktikan Malaysia akan menjadi lebih baik pada tahun-tahun akan datang di bawah kerajaan baharu.

Pengarah pilihan raya DAP itu memberitahu BFM dalam wawancara, set pandangan ekonomi yang koheren itu akan menjadi panduan kerajaan dalam membuat dasar.

“Selalunya, yang memecahbelahkan kerajaan, selain daripada personaliti ialah tiada pandangan ekonomi yang koheren,” katanya ketika ditanya mengenai pengajaran daripada pemerintahan PH di Putrajaya selama 22 bulan.

Liew berkata, untuk menarik pengundi yang belum membuat keputusan, PH perlu mengutamakan keperluan ekonomi mereka.

“Apa yang pengundi paling ambil berat? Mereka ambil berat tentang pekerjaan, tentang gaji. Mereka ambil berat tentang pengangkutan awam, perumahan (mampu milik), penjagaan anak-anak dan hari tua,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata, enam negeri yang memilih untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN)berasingan perlu mempertimbangkan pilihan raya diadakan serentak pada Jun tahun depan dan ia umpama “pilihan raya umum mini”.

Ditanya mengenai kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah untuk PRN tahun depan, ADUN Perling itu mengakui sukar meramalkan sama ada pengundi akan teruja untuk mengundi lagi.

“Ia sebenarnya bergantung kepada jenis mesej yang parti politik akan tawarkan kepada pengundi.”

Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu memutuskan untuk mengadakan PRN tahun depan.

Pahang, Perlis dan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing supaya PRN diadakan serentak dengan PRU15.

Mengenai pakatan pilihan raya PH dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda, Liew berkata, beliau lebih cenderung “mempunyai lebih ramai kawan daripada musuh” dan PH patut bekerjasama dengan parti yang mempunyai ideologi sama. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.