KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berada dalam trend penurunan dengan dagangan berlegar antara 4.69 dan 4.72 berbanding dolar US pada minggu hadapan, berikutan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh daripada yang diramalkan semasa September, menurut penganalisis.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran tidak melihat kemungkinan ringgit akan meningkat semula berbanding dolar US selepas indeks harga pengguna (IHP) AS yang agak mantap bakal menjadi faktor utama kenaikan kadar faedah yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan.
“Risiko politik sekitar pilihan raya akan datang juga telah diketengahkan dalam kelemahan ringgit sepanjang minggu dan ia akan terus memuncak pada minggu akan datang.
“Apa pun, faktor utama di tengah-tengah kelemahan ringgit adalah sistem kewangan serta ekonomi global yang tidak bermaya, yang akhirnya hanya ada satu tempat selamat sebenar di dunia iaitu dolar US,” katanya kepada Bernama.
Innes juga menyatakan bahawa pemecahan pada paras 4.70 pada Jumaat adalah tidak menyenangkan dan ia mungkin mengakibatkan lebih banyak kelemahan kerana pasaran ekuiti dan bon yang kurang memberangsangkan boleh membawa kepada aliran keluar yang lebih banyak.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berpendapat pada asasnya, ringgit masih dalam keadaan baik dan menjangkakan ia kurang menentu berbanding mata wang Asia lain.
“Data ekonomi terkini dalam laporan ‘Distributive Trade Sales’ serta Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) yang dikeluarkan awal minggu ini menyokong pandangan kami terhadap ringgit,” katanya.
Pertumbuhan IPI menokok kepada 13.6% dari tahun ke tahun, terpantas dalam tempoh 15 bulan, didorong oleh pertumbuhan output pembuatan yang lebih baik iaitu 14.9% dari tahun ke tahun, yang sejajar dengan prestasi eksport yang lebih kukuh.
“Pecutan dalam pertumbuhan IPI juga mencerminkan pertambahan aktiviti pengeluaran pada Julai hingga Ogos 2022, membayangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh menjelang suku ketiga 2022,” katanya.
Ringgit terus melembap untuk minggu yang baru berakhir, dipengaruhi oleh faktor dalaman dan luaran.
Sidek ketika mengulas mengenai faktor dalaman, berkata belanjawan neutral pasaran serta pembubaran Parlimen telah memperlahankan momentum ringgit berbanding minggu sebelumnya; bagaimanapun, ini boleh menimbulkan risiko jangka pendek.
Bagaimanapun, beliau berkata, faktor luaran adalah lebih membimbangkan, terutama berkaitan dengan pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan bagi membendung inflasi.
Pada Jumaat, ringgit susut berbanding dolar US kepada 4.7025/7065 daripada 4.6480/6520 yang direkodkan semasa minggu sebelumnya.
Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3009/3042 daripada 3.2529/2559 sebelum ini, merosot berbanding pound Britain kepada 5.2870/2915 daripada 5.2132/2177 yang disaksikan pada minggu lepas dan jatuh berbanding euro kepada 4.5741/5780 daripada 4.5574/5613.
Bagaimanapun, ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1836/1867 daripada 3.2084/2116 sebelumnya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.