`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 21, 2022

Sediakan khidmat terbaik untuk pelanggan, MYAirline diberitahu

 

MYAirline, yang menjanjikan tambang ultra rendah, merancang menambah sehingga 50 pesawat dalam tempoh lima tahun. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: MYAirline, syarikat penerbangan baharu yang masih belum beroperasi, perlu memberi tumpuan kepada keperluan pelanggan bagi membolehkan mereka menguasai pengangkutan udara.

Pakar dan pihak berkepentingan dalam syarikat itu memberitahu FMT Business, keselamatan dan kesejahteraan penumpang juga harus berada dalam senarai keutamaan.

Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Ajit Johl berkata, cabaran bagi syarikat penerbangan tambang murah adalah untuk sentiasa memastikan keperluan pelanggan tidak diketepikan.

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian menyebabkan pelanggan tidak berpuas hati.

“Syarikat penerbangan baharu mesti belajar daripada kesilapan syarikat penerbangan tambang murah sedia ada. Mereka tidak boleh keliru antara ‘kos rendah’ dengan ‘murah’,” katanya.

MYAirline, yang telah diberi lesen untuk beroperasi oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, mengumumkan baru-baru ini bahawa ia merancang untuk memulakan operasi komersial menjelang akhir tahun ini.

Selain memastikan penerbangan menepati masa, syarikat itu mendakwa ia boleh menyediakan tambang lebih murah dan menyediakan sokongan pelanggan lebih baik berbanding AirAsia, yang kini menguasai penerbangan tambang murah di rantau Asia Pasifik.

Tampil sebagai syarikat penerbangan “ultra-kos-rendah”, MYAirline merancang untuk memulakan operasi menggunakan tiga pesawat Airbus A320s terpakai namun menjangkakan menambah pesawat kepada 50 buah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sebaik sahaja memulakan penerbangan, MYAirline akan menjadi syarikat penerbangan tambang murah keempat di Malaysia selepas AirAsia, Firefly dan Malindo.

Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia Naguib Mohd Nor berkata, syarikat penerbangan baharu itu mengambil peluang daripada jurang terbuka dalam pasaran pasca wabak menerusi kemunculan peluang yang datang bersama model perniagaan baharu.

Beliau berkata, ramai pendatang baharu dalam industri penerbangan sudah melabur dalam pesawat baharu dan lebih cekap sejak awal lagi untuk meraih faedah yang ditawarkannya.

“Bagaimanapun, mereka juga perlu mengambil kira faktor lain, seperti permintaan yang meningkat bagi memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG),” katanya.

Bekas timbalan menteri pengangkutan Aziz Kaprawi berkata, selain menyediakan alternatif kepada pengguna, syarikat penerbangan baharu itu juga boleh mewujudkan “dorongan ekonomi” untuk negara.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa industri ini sangat berdaya saing dan berharap agar MYAirline bersedia untuk menangani cabaran yang mendatang.

MIDF Research berkata, syarikat penerbangan baharu itu boleh mengambil kesempatan daripada nisbah hutang yang kecil dan beroperasi pada asas kos rendah.

“Ini berpotensi memaksa syarikat penerbangan tambang murah yang lebih mantap untuk melaksanakan rasionalisasi kos dan menjadi lebih cekap bagi membolehkan mereka menawarkan tambang yang menarik.

“Ini akan memberi manfaat kepada pelanggan dan merangsang pertumbuhan dalam trafik penumpang,” katanya.

Selain itu, katanya, peningkatan rangkaian keterhubungan boleh memberi manfaat kepada industri berkaitan seperti operasi lapangan terbang, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pelancongan.

MIDF berkata, masalah lebihan kapasiti boleh dikurangkan jika MYAirline memberi tumpuan kepada pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan, seperti dalam kes SKS Airways yang kebanyakannya menyediakan penerbangan ke kawasan terpencil.

Bagaimanapun, katanya, sehingga MYAirline mencapai skala ekonomi, strategi menawarkan tambang murah mungkin tidak mampan, terutamanya jika harga bahan api kekal tinggi.

Tambahnya, AirAsia hanya mampu mengimbangi sebahagian kenaikan kos bahan api tahun ini walaupun dengan mengenakan surcaj. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.